Seramai 25 keluarga dari Kampung Orang Asli Embus yang terkandas akibat limpahan air sungai telah menerima bantuan bekalan makanan oleh Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) hari ini.

MARAN – Seramai 25 keluarga dari Kampung Orang Asli Embus yang terkandas akibat limpahan air sungai telah menerima bantuan bekalan makanan oleh Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) hari ini.

Pegawai APM Daerah Maran, Kapten (PA) Mohd Nor Azhar Yusof, makanan tersebut dihantar oleh dengan kerjasama Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Negeri Pahang serta Penghulu Mukim Luit.

Difahamkan penduduk kampung itu terputus hubungan sejak 28 Disember lalu disebabkan limpahan anak Sungai Embus di jalan utama kampung terbabit.

Jalan masuk ke Kampung Orang Asli Embus di Maran terpaksa ditutup sementara akibat limpanan air sungai.

“Sungai terbabit menerima air dari Sungai Mentenang, Maran hingga menyebabkan jalan utama kampung terbabit tidak dapat dilalui oleh semua jenis kenderaan.

“Tanah di jalan utama terbabit juga mendap dan meruntuhkan struktur jalan itu selain menyebabkan penduduk tidak dapat keluar melalui laluan tersebut untuk mendapatkan barang keperluan,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Menurut Mohd Nor Azhar, bantuan dihantar di kampung itu melibatkan dua buah kenderaan pacuan empat roda.

Selain daripada limpahan air sungai Pahang, tanah runtuh di kawasan jalan masuk ke perkampungan Orang Asli Embus terpaksa ditutup sementara sehingga keadaan beransur pulih seperti sedia kala.

Dalam perkembangan terkini banjir di Pahang, hanya sebuah Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Balairaya Baru Kampung Pertanian di Maran yang masih beroperasi menempatkan 34 mangsa banjir membabitkan 11 keluarga. – MalaysiaGazette