KUALA LUMPUR – Video tular memaparkan beberapa individu menari di sebuah hangar berlatar belakang tulisan Polis Diraja Malaysia (PDRM) adalah program Rock The World 2023 yang diadakan pada 16 Disember lalu.

Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Amihizam Abdul Shukor yang mengesahkan perkara itu berkata, tapak konsert itu berlangsung merupakan Pangkalan Pasukan Gerakan Udara (PGU) PDRM yang lama dan telah ditutup.

Malah, katanya, tapak itu juga telah diserahkan sepenuhnya kepada pihak pemaju.

“Semalam, pada pukul 3.30 petang terkesan satu video berdurasi 16 saat dimuat naik oleh pemilik akaun laman X bernama ‘Isu Semasa Viral’.

“Ia memaparkan beberapa individu sedang menari sambil mendengar muzik. Hasil siasatan polis mendapati, kejadian tersebut berlaku pada 16 Disember lalu di KL Base, Jalan Lapangan Terbang Lama, PGU Kuala Lumpur ketika berlangsungnya konsert Rock The World 2023,” katanya dalam kenyataan.

Amihizam berkata, pihaknya telah menerima pemakluman dan lesen telah dikeluarkan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Justeru, beliau menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi tidak berasas berhubung video tular berkenaan. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast