MELAKA – Seorang lelaki warga Indonesia diberkas polis selepas membunuh majikannya yang juga seorang mualaf di sebuah pondok kebun kelapa sawit di Sungai Udang di sini pada 22 Disember lalu.
Suspek berusia 25 tahun itu ditahan pasukan Bahagian Siasatan Jenayah Berat (D9) Ibu Pejabat Polis Daerah Melaka Tengah di sebuah asrama pekerja rakannya di Bandar Sultan Sulaiman, Pelabuhan Klang, Selangor kira-kira 4 pagi Sabtu lalu.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, penahanan dibuat selepas pihaknya menemukan dua kesan cap jari suspek di rumah majikannya, lelaki berusia 71 tahun yang ditemui mati dengan dua kesan tikaman di belakang kepala berukuran setengah inci.
“Penemuan mayat mangsa pukul 1.20 pagi 27 Disember lalu yang juga seorang mualaf susulan polis menerima aduan daripada anaknya bapanya itu tidak dapat dihubungi sejak 11 malam 22 Disember lalu.
“Bertindak daripada maklumat diperoleh, suspek berjaya ditahan kira-kira pukul 4 pagi 30 Disember lalu ketika menyembunyikan diri di asrama pekerja rakannya di Pelabuhan Klang,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambah Christopher, hasil soal siasat suspek mengaku memukul kepala si mati dengan tukul besi kerana tidak tahan selalu dimarahi si mati kira-kira pukul 12 tengah hari 22 Disember lalu.
“Suspek kemudian mengheret si mati ke dalam bilik dan mengambil dompet, telefon bimbit dan melarikan kereta mangsa sehingga ke Rembau, Negeri Sembilan sebelum meninggalkannya di tepi jalan kerana kehabisan minyak.
“Pekerja ladang itu kemudian menaiki e-hailing menuju ke Tampin dan membeli tiket bas menuju ke asrama pekerja rakannya di Pelabuhan Klang,” katanya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana kesalahan bunuh. – MalaysiaGazette.
















