KUALA LUMPUR – Seramai 395,870 orang calon akan menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang akan bermula pada 8 Januari hingga 7 Mac ini.
Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menerusi kenyataan memaklumkan, ia bermula dengan Ujian Bertutur Bahasa Melayu yang akan dimukan pada 8 hingga 11 Januari diikuti Ujian Bertutur Bahasa Inggeris pada 17 hingga 23 Januari 2024.
Ujian Mendengar Bahasa Melayu dan Ujian Mendengar Bahasa Inggeris pula diadakan serentak iaiatu pada 29 Januari 2024.
“Manakala, bagi peperiksaan bertulis akan bermula pada 30 Janurai hingga 7 Mac 2024,” katanya.
Menurut KPM, sebanyak 3,340 buah pusat akan digunakan dengan 129,635 orang petugas dilantik bagi memastikan kelancaran pengurusan dan pengendalian peperiksaan.
KPM turut mengingatkan semua calon peperiksaan SPM Tahun 2023 agar merujuk jadual waktu peperiksaan bagi mendapatkan maklumat mengenai tarikh, masa, kod dan kertas peperiksaan
serta arahan yang perlu dipatuhi sepanjang peperiksaan itu berlangsung.
Katanya, jadual waktu peperiksaan tersebut boleh dimuat turun dari laman sesawang Lembaga Peperiksaan (LP) melalui pautan lp.moe.gov.my.
Calon juga katanya, diingatkan supaya membawa dokumen pengenalan diri dan Pernyataan Pendaftaran Peperiksaan ke pusat peperiksaan.
“Calon juga hendaklah mematuhi prosedur operasi standard dan peraturan yang ditetapkan bagi memastikan kelancaran pengurusan pengendalian peperiksaan SPM Tahun 2023,” jelasnya.
KPM berkata, pihaknya cakna dengan keselamatan dan kebajikan calon serta semua petugas peperiksaan dalam menghadapi sebarang kemungkinan bencana termasuk musim banjir sepanjang peperiksaan SPM Tahun 2023 berlangsung.
KPM juga katanya sentiasa siap siaga dengan mekanisme dan langkah persediaan sewajarnya termasuk bekerjasama dengan agensi kerajaan lain yang berkaitan.
“Semua calon peperiksaan SPM Tahun 2023 dinasihatkan untuk memaklumkan kepada pihak sekolah atau jabatan pendidikan negeri (JPN) dengan segera sekiranya tidak dapat hadir di pusat peperiksaan yang telah ditetapkan atau mana-mana pusat peperiksaan berhampiran disebabkan oleh bencana.
“Calon juga boleh menghubungi talian bilik gerakan peperiksaan yang disediakan di ibu pejabat LP dan JPN di seluruh negara,” tambahnya. – MalaysiaGazette