Timbalan Ketua Pengarah Operasi, Jafri Embok Taha soal siasat kepada salah seorang tahanan PATI ketika Operasi Penguatkuasaan Bersepadu Bahagian Penguatkuasaan JIM Putrajaya JPN di sekitar kawasan Brickfields. Foto SYADILA AMARI, 1 JANUARI 2024.

KUALA LUMPUR – Seramai 370 warga asing diperiksa dalam Operasi Penguatkuasaan Bersepadu Bahagian Penguatkuasaan Jabatan Imigresen (JIM) di kawasan Little India, Brickfields di sini hari ini.

Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Jabatan Imigresen (JIM), Jafri Embok Taha berkata, ia hasil daripada aktiviti menggempur 30 premis sekitar kawasan itu dengan berjaya menahan lebih 100 pendatang asing tanpa izin (PATI).

“Kita melakukan pemeriksaan terhadap 30 premis termasuk kediaman, kedai pakaian, restoran, kedai gunting rambut, kedai barang kecantikan dan kedai serbaneka di sekitar Jalan Thamby Abdullah serta warga asing yang berjalan kaki melalui kawasan berhampiran.

Operasi Penguatkuasaan Bersepadu Bahagian Penguatkuasaan JIM Putrajaya JPN di sekitar kawasan Brickfields. Foto SYADILA AMARI, 1 JANUARI 2024.

“Dalam operasi ini, lebih 100 pendatang tanpa izin ditahan dan dibawa ke Depot Tahanan Jabatan Imigresen di Semenyih untuk disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana melakukan kesalahan antaranya tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah, tinggal lebih masa dan pemegang kad yang tidak diiktiraf,” katanya kepada wartawan selepas operasi itu selesai  3 petang tadi.

Operasi yang bermula 1 petang tadi itu melibatkan 224 anggota Imigresen dan Jabatan Pendaftaran Negara serta Angkatan Pertahanan Awam susulan aduan orang ramai berhubung kebanjiran warga asing di kawasan berkenaan.

Daripada 370 yang diperiksa, 335 daripadanya adalah lelaki dan bakinya adalah wanita.

Warganegara India paling ramai ditahan iaitu 168 lelaki dan 6 wanita, Bangladesh (101 lelaki), Pakistan (30 lelaki, 6 wanita), Sri lanka (18 lelaki 3 wanita), Indonesia (10 lelaki dan 20 wanita) Nepal (5) Filipina (2 lelaki) dan Myanmar (1).

Sebahagian pendatang asing tanpa izin yang berjaya ditahan oleh anggota Jabatan Imigresen Malaysia dalam Operasi Penguatkuasaan Bersepadu Bahagian Penguatkuasaan JIM Putrajaya 2024 menggempur penempatan PATI di sekitar Brickfields. Foto SYADILA AMARI, 1 JANUARI 2024.

Mengulas lanjut, Jafri berkata, kesemua mereka ditahan atas kesalahan tiada dokumen pengenalan diri dan tinggal lebih masa.

“Semasa serbuan dan pemeriksaan terdapat beberapa kejadian di mana warganegara asing cuba melarikan diri. Antara kesalahan adalah tiada dokumen pengenalan diri, langgar syarat pas yang dikeluarkan JIM, tinggal lebih masa dan pemegang kad tak diiktiraf dan lain-lain kesalahan yang melanggar Akta Imigresen,” katanya lagi.

Mengulas mengenai Program Rekalibrasi Tenaga Kerja (RTK) 2.0 yang berakhir semalam, Jaffri berkata, proses seterusnya adalah pengesahan permohonan yang akan dilaksanakan sehingga 31 Mac ini.

“Tempoh pendaftaran (RTK) sudah tamat dan kita kini akan buat pengesahan…selepas 31 Mac ini kita akan melakukan operasi dan mengambil tindakan erhadap pekerja asing yang belum melalui proses pengesahan berkenaan terutama mereka yang selama ini memegang kad RTK sebagai alasan semasa pemeriksaan dokumentasi,” katanya.

Pelan Rekalibrasi Tenaga Kerja tamat semalam dan akan diteruskan selama setahun berkuat kuasa serta-merta.

Untuk makluman, majikan boleh memohon pengambilan pekerja asing menerusi program RTK 2.0 mulai 27 Januari ini. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast