Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) melahirkan rasa kecewa dengan sikap segelintir warga kota yang masih lagi bersikap dan berfikir cara lama membabitkan penjagaan kebersihan tempat walaupun sudah masuk tahun baharu 2024.

KUALA LUMPUR – Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) melahirkan rasa kecewa dengan sikap segelintir warga kota yang masih lagi bersikap dan berfikir cara lama membabitkan penjagaan kebersihan tempat walaupun sudah masuk tahun baharu 2024.

Dalam satu kenyataan hari ini, DBKL berkata, hakikatnya perbuatan membuang sampah merata di jalanan masih lagi terus menjadi amalan oleh warga kota.

Kata DBKL, sememangnya ada segelintir yang menganggap sampah boleh dibuang merata-rata kerana akan ada agensi yang menguruskan dan membersihkan keadaan tersebut.

“Membuang sampah sesuka hati dengan anggapan ‘pandai-pandailah DBKL’ bersihkan nanti. Peliknya, kita masih mahu membandingkan Kuala Lumpur dengan bandar-bandar di negara lain dari segi keindahan. Perlu melihat bagaimana sikap warga mereka dalam soal kebersihan.

Sampah merata ketika umum hadir menyambut ambang tahun baharu di sekitar KLCC malam tadi.

“Kena tengok bagaimana sikap warga mereka dalam soal kebersihan,” katanya dalam satu kenyataan.

Kata DBKL lagi, pihaknya bukan meminta orang awam membersihkan kawasan tetapi cukup sekadar masing-masing uruskan sampah sendiri  dan tidak membuangnya merata tempat.

“Kalau perlu bawa plastik sampah sendiri, jangan buang merata-rata dan kalau perlu, bawa plastik sampah sendiri. Hari ini adalah hari pertama kita menjejaki 2024. Semalam, 2023 ditinggalkan dengan seribu kenangan,” ujarnya.

Semalam ketika tinjauan ambang tahun baharu di Menara Berkembar Petronas yang menjadi tumpuan umum, MalaysiaGazette ada melaporkan bagaimana sampah dibuang merata-rata di lokasi bangunan ikonik itu. – MalaysiaGazette