Anwar Ibrahim.

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan isteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail menzahirkan rasa simpati dengan tragedi gempa bumi yang melanda Wilayah Ishikawa di tengah Jepun, hari ini.

Menerusi perkongsian di Facebook, Anwar berkata kerajaan menerusi Kementerian Luar dan Kedutaan Besar Malaysia di Jepun sedang memantau rapat sebarang perkembangan terkini mengenai bencana itu.

“Moga yang terkesan diberi ketabahan dan kesabaran dalam waktu sukar dan mencabar ini termasuk rakyat kita di sana,” menurut catatan itu.

Gempa bumi itu dengan magnitud 7.6, mencetuskan amaran tsunami di sepanjang kawasan pantai barat Jepun dengan gelombang tsunami kecil sampai ke pantainya.

Terdahulu, Wisma Putra dalam kenyataan memaklumkan setakat ini tiada rakyat Malaysia dilaporkan terlibat atau terjejas akibat bencana itu.

Menurut Wisma Putra, rakyat Malaysia di kawasan terjejas dinasihatkan supaya sentiasa berwaspada dan mengikuti perkembangan terkini serta nasihat yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa tempatan.

Rakyat Malaysia yang memerlukan bantuan konsular boleh menghubungi Kedutaan Besar Malaysia di Tokyo di talian +81-3-3476-3840 atau +8180-3913-3840 (kecemasan) dan e-mel [email protected] atau [email protected]. – BERNAMA