KUALA LUMPUR – Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar berkenan melantik, mengurniakan dan menggelar isteri Tunku Mahkota Johor (TMJ) sebagai Che’ Puan Mahkota Khaleeda Binti Bustamam pada 31 Disember lalu.

Yang DiPertua Jumaah Majlis Diraja Johor, Datuk Dr. Abdul Rahim Ramli berkata, berikutan itu gelaran Che’ Puan Besar tidak lagi digunakan.

Katanya, bagi versi Bahasa Inggeris panggilannya ialah Her Highness Che Puan Mahkota Khaleeda Binti Bustamam

“Oleh itu, mulai 1 Januari 2024, gelaran ini hendaklah digunakan di dalam semua urusan, sebutan dan persuratan rasmi,” katanya menerusi hantaran pada laman Facebook The Royal Johor.

Menurut Abdul Rahim, gelaran tersebut dilakukan dengan kuasa hak dan keistimewaan baginda di bawah Fasal 23 Bahagian Pertama dan Fasal 7(2)(e) bahagian kedua Undang-undang Tubuh Kerajaan Johor 1895. – MalaysiaGazette