Mahkamah Shah Alam

KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi Shah Shah Alam di sini memutuskan untuk mengurangkan hukuman seorang bekas hakim yang terpalit dengan kesalahan rasuah dan berdepan dengan hukuman penjara serta denda.

Hakim Hasbullah Adam telah memutuskan hukuman berkenaan terhadap Azmil Muntapha Abas, 50, selepas membenarkan rayuan bekas Hakim Mahkamah Sesyen Kuala Kubu Bharu itu untuk mengetepikan hukuman dikenakan Mahkamah Sesyen.

Sebelum ini, suspek yang juga bekas Hakim Mahkamah Sesyen Kuala Kubu Bharu, Azmil Muntapha Abas telah dijatuhi hukuman penjara enam bulan serta denda RM25,000 oleh Mahkamah Sesyen.

Tetapi hukuman itu telah dikurangkan kepada penjara sehari dan denda RM12,000.

Azmil Muntapha telah membuat rayuan untuk mengetepikan hukuman diputuskan oleh mahkamah pada 19 Oktober 2022 namun ditolak untuk mengetepikan sabitan bersalah.

Dalam penghakiman ringkas, Hasbullah Adam mendapati, tidak wujud alasan yang bermerit untuk menolak keputusan Hakim Mahkamah Sesyen berhubung sabitan kesalahan mengikut Seksyen 316 Kanun Tatacara Jenayah.

Jelasnya, sabitan bersalah perayu atas kesalahan rasuah tersebut tidak bercanggah maka rayuan untuk mengetepikan kesalahan itu ditolak.

“Namun mahkamah membenarkan rayuan perayu atas hukuman dengan mengetepikan hukuman penjara enam bulan dan denda RM25,000 dengan menggantikannya kepada pemenjaraan sehari dan denda sebanyak RM12,000.00.

“Andai dia gagal bayar maka perayu berdepan dengan pemenjaraan selama tiga bulan,” katanya ringkas.

Dalam kertas pertuduhan, suspek sebagai Hakim Mahkamah Sesyen telah memperoleh untuk dirinya suatu barang berharga iaitu wang tunai sebanyak RM5,000 tanpa suatu balasan pada 8.22 malam.

Tertuduh didapati mempunyai hubungan dalam suatu prosiding yang berkaitan dengannya iaitu mengendalikan kes-kes jenayah bagi enam Orang Kena Tuduh (OKT).

Enam OKT tersebut adalah Chin Yat Soong, Yap Chiew Tat, Chin See Shak, Pang Kooi Fook, Yap Swee Ming dan Chin Chee Keong yang masing-masing telah melakukan kesalahan di bawah Subseksyen 9 (1) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 dan di mana Azmil Muntapha telah menjatuhkan hukuman denda terhadap kesemua mereka.

Azmil Muntapha didakwa melakukan perbuatan tersebut pada 10 Mei 2018 mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya. – MalaysiaGazette