Pemandu maut selepas lori yang dipandu hilang kawalan ketika turun bukit sebelum terbabas di simpang lampu isyarat dan masuk parit bahu jalan di Meru Klang hari ini.

KUALA LUMPUR – Seorang pemadu lori tanah maut apabila kenderaannya hilang kawalan ketika turun bukit lalu terbabas dalam parit di Jalan Meru Tambahan/ Jalan Setia Jaya Meru, Klang, Selangor.

Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner S.Vijaya Rao berkata, dalam kejadian jam 12.20 tengah hari itu lori Nissan yang datang dari arah Shah Alam hilang kawalan selepas menuruni bukit ketika berada di simpang empat lampu isyarat.

“Pemeriksaan lanjut mendapati pemandunya seorang lelaki tempatan berumur 29 tahun telah disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala dalam nahas tersebut,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurut Rao, mangsa dihantar ke Hospital Tunku Ampuan Rahimah, Klang dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Orang ramai atau saksi yang mempunyai sebarang maklumat mengenai kemalangan tersebut diminta menyalurkannya dengan , menghubungi pegawai penyiasat trafik, Inspektor Surihan Samsudin di talian 013-2082327. – MalaysiaGazette