Peguam Rosli Dahlan hadir

KUALA LUMPUR – Peguam, Rosli Dahlan telah memfailkan semakan kehakiman bagi mencabar tindakan polis yang pernah menahannya selain membekukan beberapa akaun bank secara salah selepas mengaitkan beliau dengan syarikat pelaburan, i-Serve Technology and Vacations Sdn Bhd (i-Serve).

Selain itu, Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) juga menyekat perjalanan Rosli ke luar negara.

Beliau memfailkan permohonan pada minggu lepas dan sebutan kes ditetapkan pada 19 Februari depan.

Rosli menamakan Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain @ Abd. Rasid; Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Polis DiRaja Malaysia (PDRM), Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf dan Ketua Pasukan Siasatan Jenayah Pengubahan Wang Haram (AMLA), Datuk Muhammad Hasbullah Ali.

Selain itu, turut dinamakan ialah Timbalan Ketua AMLA, Asisten Komisioner, ACP Foo Wei Min dan pegawai penyiasat, Superintenden Mohd. Faizal Mohd. Atan; Ketua Pengarah JIM, Datuk, Seri Khairul Dzaimee Daud, PDRM, JIM dan kerajaan Malaysia.

Rosli berkata, beliau hanya mengendalikan beberapa kes membabit i-Serve dan tidak pernah memegang jawatan atau memiliki saham syarikat tersebut.

Pada 3 November 2023, Rosli telah diserahkan dengan lapan perintah pembekuan akaun-akaun bank miliknya manakala pada 18 November pula terdapat perintah sekatan perjalanan.

Beliau hanya menyedarinya ketika hendak ke Singapura.

Rosli berkata, tindakan menahan serta membekukan akaun dan sekatan perjalanan adalah satu penyalahgunaan kuasa, menganiaya dan memalukan beliau.

Pemohon telah memohon perintah untuk menyahbekukan tujuh akaun Maybank Berhad dan Maybank Islamic, 12 akaun amanah saham dan tiga akaun CIMB miliknya selain perintah sekatan perjalanan dibatalkan.

Rosli turut memohon perintah interim antaranya kebenaran untuk menggunakan RM50,000 sebulan atau lebih jika memerlukan daripada akaunnya.

Ini termasuk untuk membayar hutang, perbelanjaan sara hidup pemohon, keluarga dan pekerja-pekerjanya.

Selain itu, Rosli juga memohon untuk pengeluaran sebanyak RM1.8 juta untuk membayar zakat kepada Lembaga Zakat Selangor bagi tahun 2023. – MalaysiaGazette