KUALA LUMPUR – Prof. Dr. Ahmad Hata Rasit, 54 tahun, dilantik sebagai Naib Canselor Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) baharu bagi tempoh tiga tahun berkuat kuasa mulai 8 Januari 2024 hingga 7 Januari 2027.
Dr Ahmad Hata berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Sains Perubatan dan Ijazah Doktor Perubatan dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pada tahun 1991 dan 1994 sebelum melanjutkan pengajian ke peringkat Ijazah Sarjana Surgeri (Ortopedik) dari universiti yang sama pada tahun 2001.
Beliau memiliki pengalaman yang luas dalam pentadbiran organisasi di peringkat universiti.
Dr Ahmad Hata merupakan penyandang Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) Unimas dari tahun 2019 dan pernah menjawat jawatan sebagai Dekan Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, Unimas selama tujuh tahun dari tahun 2012.
Pelantikan beliau dilihat mampu meneruskan agenda merakyatkan universiti dan menyumbang kepada pembangunan anak negeri Sarawak melalui kerjasama strategik dengan Kerajaan Negeri dan Persekutuan.
Kementerian juga yakin pelantikan Dr Ahmad Hata mampu memacu kecemerlangan Unimas sebagai sebuah Universiti Komprehensif yang berteraskan kepada tiga bidang tujahan iaitu pemuliharaan biodiversiti dan alam sekitar, teknologi maklumat, komunikasi
dan kreatif serta kelestarian transformasi komuniti.
Pada masa sama, KPT merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Prof. Datuk Dr. Mohamad Kadim Suaidi atas jasa bakti beliau sepanjang menerajui Unimas sebelum ini. – MalaysiaGazette