Gimik perasmian pelancaran Auto Teller Machine ( ATM) di ladang Kosma di Keratong, Rompin hari ini.

ROMPIN – Berita baik untuk penduduk dan kira-kira 1,000 pekerja di ladang sawit Bandar Tun Razak, Keratong kerana sudah boleh mendapat wang tunai ketika berada dalam ladang.

Ini kerana Koperasi Serbausaha Makmur Berhad (Kosma) dengan kerjasama RHB Bank menyediakan  Auto Teller Machine (ATM) menggunakan tenaga solar kepada pengguna.

Pengerusinya, Datuk Zamri‌ Mohamad berkata, sejarah tercipta apabila Ladang Kosma adalah perintis dan merupakan ladang yàng pertama di negara ini menyediakan kemudahan ATM kepada pekerja ladang.

“Mesin ATM ini dipasang di pintu masuk pondok pengawal keselamatan Ladang Kosma memberi kemudahan kepada kira-kira 1,000 pekerja asing Indonesia dan Bangladesh mengambil gaji dan menghantar wang ke negara asal mereka.

“Kemudahan itu juga memberi manfaat kepada lebih 4,000 penduduk sekitar yang selamà ini  terpaksa ke Bandar Muadzam Shah atau ke Bahau yang jaraknya lebih kurang 50 km untuk Urusan mengeluarkan wang,” katanya.

Beliau berkata demikian menerusi kenyataan selepas majlis pelancaran ATM menggunakan tenaga solar di kawasan ladang sawit  dekat Bandar Tun Razak, Keratong  dekat sini hari ini.

Hadir sama Ketua Jualan Wilayah, Deposit Wilayah Pantai Timur, Noorazmadee Salleh dan Timbalan Pengerusi Kosma, Datuk Mohd Sabri Abdullah.

Penggunaan mesin itu turut memberi manfaat kepada 150 petugas Kosma dan ladang sekitar seperti Ladang Berembun, Ladang Felda Bera serta penduduk setempat.

Tambah Zamri, usaha tersebut layak mencatatkan dua rekod bagi Malaysia Book Of Record (MBOR) kerana telah mewujudkan mesin ATM di kawasan ladang dan menggunakan tenaga solar. -MalaysiaGazette