Polis sedang mengesan dua beradik yang dilaporkan hilang di Taman Bernam Jaya, Hulu Bernam sejak 1 Jan lepas.

KUALA LUMPUR – Polis sedang mengesan dua adik-beradik lelaki berusia 16 dan 15 tahun yang dilaporkan hilang di Taman Bernam Jaya, Hulu Bernam, Selangor sejak pagi Isnin lepas.

Ketua Polis Daerah Hulu Selangor Supt Ahmad Faizal Tahrim berkata kedua-dua remaja berkenaan dikenali sebagai Wan Azfar Fitri Wan Azhar dan adiknya Wan Azfar Zikri kali terakhir dilihat di rumah mereka di Jalan Kemudi, Taman Bernam Jaya selepas balik daripada solat subuh di surau pada pagi Isnin itu.

“Pakaian terakhir mereka ialah berbaju warna tidak pasti dan berseluar trek warna gelap, kehilangan remaja berkenaan disedari oleh ibu bapa mereka pada 6.30 pagi Isnin lepas apabila mendapati mereka tiada di rumah, difahamkan mereka keluar rumah tanpa memberitahu ibu bapa selepas pulang dari surau,” katanya kepada Bernama malam ini.

Menurut Ahmad Faizal, kedua-dua ibu bapa remaja berkenaan membuat laporan polis pada 9.19 pagi keesokannya (Selasa).

Remaja terbabit juga katanya, tidak membawa sebarang dokumen pengenalan diri kerana disimpan oleh ibu mereka serta tidak mempunyai telefon bimbit.

Beliau meminta orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat mengenai dua beradik berkenaan supaya memaklumkan balai polis berhampiran atau menghubungi ibu bapa remaja itu menerusi talian 011-3377 2289 dan 011-1133 5305 atau pegawai penyiasat 013-554 7435. – BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast