Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf . Foto WAN NABIL NASIR, 26 OKTOBER 2023.

KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia Malaysia (PDRM) sedang menyiasat sebuah syarikat dilantik sebagai ejen kutipan zakat Majlis Agama Islam Dan Adat Melayu Perak (MAIPk) selepas disyaki menyeleweng kutipan zakat membabitkan wang berjumlah RM9.62 juta.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, siasatan telah dijalankan selepas syarikat terbabit dipercayai gagal mendepositkan kutipan zakat itu bermula bulan Mac hingga September 2023.

“Kes tersebut antara empat kes jenayah pecah amanah berkait kutipan zakat yang diterima JSJK pada tahun lepas.

“Mengikut pecahan, dua kes direkodkan di Selangor diikuti Terengganu dan Perak masing-masing satu kes,” katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Tambah Ramli, kes di Perak mencatatkan nilai kerugian tertinggi iaitu iaitu RM9.6 juta atau spesifik RM9,629,682.00 selepas disyaki telah gagal mendepositkan wang kutipan zakat yang dipertanggungjawabkan.

Kes berkenaan sedang disiasat di bawah Seksyen 409 Kanun Keseksaan.

“Polis masih meneruskan siasatan kami dan terdapat beberapa individu yang telah dipanggil bantu siasatan kes dan ada individu lagi yang akan dipanggil dalam masa terdekat,” ujarnya.

Beliau turut memberi amaran amaran keras kepada pelaku-pelaku jenayah bahawa tindakan tegas selaras dengan peruntukan undang-undang akan diambil bagi memastikan jenayah sebegini tidak berulang.

Jelasnya lagi, kes tersebut amat mendukacitakan apabila wang zakat juga turut diseleweng oleh individu-individu yang diamanahkan untuk mengutip wang tersebut.

“Perkara ini tidak sewajarnya berlaku kerana zakat merupakan satu daripada lima rukun Islam yang menjadi pegangan setiap muslimin dan muslimat di negara ini.

“Sewajarnya, wang kutipan zakat diuruskan dengan baik dan penuh amanah agar ianya dapat dimanfaatkan sesuai dengan kehendak agama,” tegasnya . – MalaysiaGazette