MELAKA – Seorang lelaki maut manakala dua lagi cedera selepas motosikal masing-masing yang ditunggangi terbabas ke dalam parit di Jalan Bukit Katil di sini, pagi tadi.
Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Bukit Katil, PBK II Riduan Ahmad berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pukul 6.49 pagi tadi sebelum sepasukan pegawai serta anggota dikejarkan ke lokasi kejadian.
“Sebaik tiba didapati tiga penunggang motosikal telah terbabas ke dalam parit yang sedang dalam kerja-kerja pembinaan.
“Salah seorang mangsa dipercayai telah meninggal dunia manakala dua lagi mangsa mengalami kecederaan dan dikejarkan ke hospital,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mengulas lanjut beliau berkata, pasukan bomba telah melakukan operasi mengeluarkan mangsa dari dalam parit berkenaan.
Mayat telah diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut. – MalaysiaGazette