Wan Mohd Fadzmi Che Wan Othman Fadzilah

LABUAN – Pihak Berkuasa Perkhidmatan Kewangan Labuan (Labuan FSA) hari ini mengumumkan pelantikan Datuk Wan Mohd Fadzmi Che Wan Othman Fadzilah sebagai pengerusi berkuat kuasa pada 1 Januari, 2024 bagi tempoh dua tahun.

Dalam kenyataannya, Labuan FSA berkata Wan Mohd Fadzmi telah dilantik oleh Kementerian Kewangan (MOF) bagi menggantikan Datuk Siti Zainab Omar yang telah bersara pada Mei 2023.

Wan Mohd Fadzmi yang mempunyai pengalaman melebihi 25 tahun dalam industri kewangan, adalah ahli perbankan dan membawa bersama kemahiran dan pengalaman luas bagi menjalankan tanggung jawab sebagai pengerusi.

Kerjayanya bermula di Melbourne, Australia, sebagai Jurunilai Kos dengan syarikat Peter Slattery & Co pada Mac,1986.

Sekembalinya ke Malaysia pada 1988, beliau telah menyertai Malayan Banking Berhad (MBB) dan menyandang pelbagai jawatan pengurusan kanan, termasuk ketua pegawai eksekutif/ketua negara bagi operasi bank berkenaan di London, New York dan Hong Kong.

Beliau kemudiannya menyertai RHB Bank Berhad sebagai pengarah Perniagaan Strategik Perbankan Kewangan Global Kumpulan dengan menyelia operasi perbankan antarabangsa di Singapura, Thailand dan Brunei Darussalam.

Selain itu, Wan Mohd Fadzmi pernah berkhidmat sebagai presiden dan ketua pegawai eksekutif Bank Pertanian Malaysia Bhd dari Julai 2011 hingga Ogos 2017 dengan mengetuai operasi di 188 cawangan di Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak.

Pada masa ini, beliau memegang jawatan pengerusi dan pengarah utama di pelbagai institusi perbankan serta syarikat awam dan swasta.

Ini termasuk pengerusi bebas bukan eksekutif Sumitomo Mitsui Banking Corporation (M) Berhad, pengarah bebas bukan eksekutif Zurich General Takaful Malaysia Berhad, Hap Seng Consolidated Berhad dan VS International Group Limited.

Beliau juga  merupakan ahli Panel Pelaburan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT).

Wan Mohd Fadzmi juga meraih pelbagai pencapaian sepanjang perkhidmatannya termasuk Ketua Pegawai Eksekutif Cemerlang 2017 daripada Institusi Kewangan Pembangunan Persatuan di Asia Pasifik di Macau, China; Ketua Pegawai Eksekutif Terbaik bagi Anugerah Kewangan Islam Global 2016 di Jakarta, Indonesia dan Anugerah Kepimpinan Perbankan Runcit Islam di Anugerah Perbankan Runcit Islam ke-3 2017.

Beliau adalah lulusan Ijazah Sarjana Muda Ekonomi Pembinaan Universiti RMIT, Australia dan telah menamatkan Program Pengurusan Lanjutan Wharton Business School, University of Pennsylvania, Amerika Syarikat serta Program Kewangan Eksekutif Kanan di Templeton College, University of Oxford di United Kingdom.

Pada masa sama, Wan Mohd Fadzmi merupakan ahli perbankan bertauliah Asian Institute of Chartered Bankers, Profesional Bertauliah dalam Kewangan Islam serta Felo Institut Pengarah Korporat Malaysia. – BERNAMA