Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman telah menggempur sebanyak 16 premis rumah urut menjalankan maksiat di lima daerah di Selangor semalam.

KUALA LUMPUR – Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman telah menggempur sebanyak 16 premis rumah urut menjalankan maksiat di lima daerah di Selangor semalam.

Hasil serbuan berjaya menahan seramai 76 wanita serta seorang lelaki warga asing.

Jabatan Siasatan Jenayah memberitahu,  dalam serbuan bermula 5 petang itu, polis berjaya menyelamatkan seramai 37 wanita warga asing yang dipercayai menjadi mangsa pemerdagangan manusia.

Serbuan itu dilakukan Bahagian Siasatan Jenayah Terancang (D14) Bukit Aman dengan dibantu Bahagian Siasatan Jenayah Maksiat, Judi dan Kongsi Gelap (D7) Kontinjen Selangor di sekitar daerah Petaling Jaya, Serdang, Gombak, Klang Utara dan Klang Selatan.

“Dalam serbuan berkenaan, seramai 25 wanita warga Vietnam, 28 wanita Thailand dan 23 wanita Indonesia serta seorang lelaki warga Indonesia ditahan selepas disyaki terbabit dalam kegiatan yang menyalahi undang-undang serta melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1963.

“Pada masa yang sama, JSJ juga turut berjaya menyelamatkan 19 wanita warga Indonesia, 15 wanita Vietnam dan masing-masing seorang wanita warga Thailand, China dan Kemboja yang disyaki menjadi mangsa penipuan sebelum diperdaya menjadi pekerja rumah urut yang diserbu,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Tambah JSJ Bukit Aman, polis turut menahan seramai 15 warga tempatan termasuk dua wanita yang dipercayai berperanan sebagai penjaga atau ejen kepada wanita warga asing yang dipaksa bekerja sebagai tukang urut di premis-premis tersebut.

Dalam serbuan sama, polis turut merampas barangan yang digunakan dalam pusat urut berkenaan seperti minyak urut, tisu basah, telefon bimbit, jadual kerja, tuala mandi, salinan lesen, walkie-talkie, kondom, buku catitan pelanggan dan wang tunai sebanyak RM7,700.

Mereka yang didapati bersalah melakukan pemerdagangan orang boleh disiasat mengikut Seksyen 12 Akta Anti Pemerdagangan Manusia dan Penyeludupan Migran (ATIPSOM) yang boleh dihukum penjara sehingga 15 tahun dan denda jika disabitkan kesalahan.

Siasatan turut dijalankan mengikut Seksyen 372B Kanun Keseksaan atas kesalahan menawarkan aktiviti persundalan atau perkhidmatan seks, Seksyen 55B Akta Imigresen dan Seksyen 6(1)(c) akta yang sama serta Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast