Anwar bersalaman dengan para jemaah sejurus selesai menunaikan solat Jumaat di Masjid Al-Firdaus, Bandar Baru Selayang, hari ini.

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri hari ini menunaikan solat Jumaat bersama rakyat di Masjid Al-Firdaus, Bandar Baru Selayang.

Datuk Seri Anwar Ibrahim yang lengkap berbaju Melayu serta bersamping tiba kira-kira pukul 1.15 petang disambut pengurusan masjid serta para jemaah.

Kira-kira 1,000 jemaah lain bersama Ahli Parlimen Tambun itu mendengar khutbah bertajuk ‘Kewajipan Menjaga Keluarga’ sebelum menunaikan solat Jumaat.

Selesai solat, Anwar turut beramah mesra dan bergambar bersama jemaah serta kanak-kanak.

Bagaimanapun, percubaan pengamal media untuk menemu bual Anwar di perkarangan masjid tidak berjaya.

“Saya nak ke Institut Jantung Negara (IJN) sekejap,” katanya ringkas.

Terdahulu, Anwar makan tengah hari bersama rakyat  di Medan Selera Bandar Baru Selayang. – MalaysiaGazette