Majlis menandatangani Perjanjian Persefahaman (MoU) antara Feruni Ceramiche bagi menjalinkan kerjasama strategik dengan beberapa pemaju hartanah yang berlangsung semalam.

KUALA LUMPUR – Feruni Ceramiche (Feruni) iaitu jenama jubin premium terkemuka di negara ini telah menandatangani Perjanjian Persefahaman (MoU) bagi menjalinkan kerjasama strategik dengan beberapa pemaju hartanah bagi menawarkan faedah eksklusif kepada pelanggannya.

MoU itu melibatkan pemaju seperti Bangsar Hill Park, Bon Estates, Majestic Gen Sdn Bhd dan Webest di mana kesemua pihak akan mewujudkan situasi menang-menang dalam usaha memberi pengalaman baharu  kepada pembeli hartanah.

Pengarah Urusan Feruni, Datuk C.C. Ngei berkata, transformasi dilaksanakan sebagai salah satu teras dan inisiatif terbaru syarikat mengubah senario industri dengan menyediakan kediaman bernilai tinggi dan pembelian yang berbaloi.

“Kolaborasi sinergi ini mencerminkan komitmen kami untuk menunjukkan penghargaan dan sokongan kepada pemaju hartanah yang memilih Feruni sebagai pilihan mereka sebagai rakan kongsi jubin.

“Melalui kerjasama ini, matlamat utama kami adalah untuk memastikan setiap pihak mendapat lebih banyak keuntungan dan manfaat dengan berbelanja lebih sedikit di mana akhirnya mewujudkan situasi menang-menang untuk semua yang terlibat,” katanya pada majlis menandatangani MoU itu semalam.

Menerusi MoU itu, pelbagai ganjaran eksklusif ditawarkan seperti diskaun, rebat dan baucar kepada mereka yang membeli hartanah daripada panel pemaju yang terlibat.

Mengulas lanjut, Ngei menambah, Feruni komited menawarkan nilai tambah dengan menyediakan bahan jubin premium tanpa sebarang tambahan pelaburan daripada pemaju.

Katanya, ia menyaksikan Bangsar Hill Park menawarkan tambahan rebat RM5,000 untuk pembeli hartanah Verdura manakala Bon Estates menawarkan baucar penerbangan Malaysia Airlines bernilai RM5,000 untuk pembeli hartanah Bon Kiara;

Selain itu, Majestic Gen Sdn Bhd menawarkan rebat istimewa RM5,000 untuk pembeli hartanah Majestic Residence manakala Webest menawarkan diskaun dua peratus daripada jumlah harga pembelian satu unit hartanah ‘29 Reserve’.

“Pembeli hartanah juga berpeluang memenangi hadiah cabutan bertuah yang menakjubkan seperti lawatan untuk dua orang ke Bali, peralatan kediaman dan banyak lagi apabila mereka membeli mana-mana hartanah yang ditawarkan oleh panel pemaju.

“Di Feruni, kami bukan sahaja menawarkan lebih daripada jubin premium sahaja namun memperkenalkan produk yang membakar imaginasi, memperkayakan alam sekitar dan memberi inspirasi kepada bakal pembeli untuk mengalami keindahan seni jubin syarikat,” katanya. – MalaysiaGazette