Salah seorang anak Hamdan, Syazreen Haqem di perkarangan rumah mayat HSA, Johor Bharu hari ini.

JOHOR BAHRU – “Babah sayang anak-anak  dan ampunkan dosa anak-anak babah.”

Itu kata-kata terakhir pelakon dan pelawak, Hamdan Senario  sebelum beliau dimasukkan di Hospital Sultanah Aminah (HSA) pada 31 Disember lalu.

Hamdan atau nama sebenarnya Ahmad Hamdan Mohamed Ramli, 54, menghembuskan nafas terakhirnya di HSA kira-kira pukul 12.40 tengahari tadi.

Salah seorang anaknya, Muhamad Syazreen Haqem, 25, berkata, selain itu bapanya juga sempat berpesan kepada semua anak supaya menjaga ibu mereka.

“Memang babah ada pesan supaya jaga ibu seperti mana beliau (arwah) menjaga isterinya. Waktu babah pesan saya dan adik beradik lain ada di sampingnya.

“Babah sempat beritahu dia sayang peminat- peminatnya. Insya-Allah saya akan jalankan amanah seperti mana yang babah pesan dan mahu. Saya akan ingat pesan babah.

“Doakan urusan babah dimudahkan,” katanya ketika ditemui di perkarangan Jabatan Perubatan Forensik HSA di sini hari ini.

Hamdan meninggalkan seorang balu, Norhamalini Ahmed, 53, dan empat anak iaitu Muhamad Zeyreen Misha, 31, Muhamad Nazreen Aiman, 28, Muhamad Syazreen Haqem, 25, dan  Nur Natasya Umairah, 21.

Jenazahnya dibawa ke kampung halamannya di Ipoh, Perak untuk dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Tambun.

Jenazah dijangka tiba di kampungnya kira-kira 11.30 malam sebelum dibawa ke Masjid Taman Perpaduan untuk solat jenazah.

Sebelum ini anggota kumpulan Senario itu terpaksa ditidurkan di HSA selepas disahkan mengalami jangkitan kuman dalam darah.

Menurut anak bongsunya, Nur Natasya Umairah, bapanya dibawa ke hospital sebelum ini kerana mengalami cirit-birit pada malam Khamis lalu.

Hamdan datang ke Johor berikutan untuk menjayakan acara Wonderful Night with Senario Union pada malam ambang tahun baharu.

Hamdan dilahirkan di Batu Gajah memenangi program realiti Sinaran Pasport Kegemilangan pada tahun 1995 bersama Ilya serta Wahid dan kemudiannya membentuk kumpulan Senario pada tahun 1996 bersama Shamsul Ghau Ghau, Azlee, Mazlan, Ilya, Wahid dan Farouk Hussain.

Hamdan pernah membintangi beberapa buah filem antaranya Aku Kaya The Movie (2003), Tipah Tertipu The Movie, Senario Dalam Pemburu Emas Yamashita, Kemarau Cinta, Salah Bapak (2006), Zombi Kampung Pisang (2007), Senario The Movie: Episode 1 (2008) dan yang terbaru pada tahun 2022, Jaga-Jaga Senariounion dan Abang Long Fadil 3. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Hamdan Senario ‘ditidurkan’, hadapi masalah kuman dalam darah