KUALA LUMPUR – Sejurus selesai menunaikan solat Jumaat di Masjid al-Firdaus, Bandar Baru Selayang, Datuk Seri Anwar Ibrahim bergegas ke Institut Jantung Negara (IJN) untuk menziarahi Presiden PAS Tan Sri Abdul Hadi Awang dan rakannya Sarjana British Profesor Ziauddin Sardar yang menerima rawatan di situ.
Bagaimanapun, Perdana Menteri berkata beliau tidak sempat untuk bertemu dengan Abdul Hadi kerana Ahli Parlimen Marang itu sedang menerima rawatan dialisis selepas menjalani beberapa prosedur kesihatan.
“Keadaan Abdul Hadi, saya dapat tahu daripada doktor (bahawa) stabil, hari ini beliau dialisis (manakala) Ziauddin sedang tunggu untuk ambil keputusan untuk prosedur berikutnya.
Kita doakan mudah-mudahan mereka sihat syafakallah, pulih dan dapat jalankan tugas seperti biasa,” katanya kepada pemberita selepas menziarahi mereka di IJN di sini, hari ini.
Abdul Hadi, 76, berada di IJN untuk pemeriksaan jantung sejak 1 Jan lepas.
Ziauddin, 72, yang merupakan penulis pemenang anugerah dan dianggap sebagai intelektual penting di United Kingdom itu pernah berkhidmat sebagai penasihat Anwar ketika beliau menjadi timbalan perdana menteri sebelum ini. – BERNAMA