KUALA LUMPUR – MCA tidak akan berhenti menyatakan solidariti kepada rakyat Palestin dan terlibat dalam perhimpunan aman sekiranya gencatan senjata tidak dilakukan segera di Gaza.

Timbalan Ketua Pemuda MCA, Mike Chong Yew Chuan berkata, bantahan MCA bukan kerana isu agama mahupun kaum, sebaliknya memperjuangkan hak asasi rakyat Palestin.

“Kita nak kebaikan bersolidariti rakyat Palestin dan kita nak beri mesej kepada masyarakat antarabangsa.

“MCA ambil bahagian (perhimpunan) untuk beri mesej kepada dunia luar bahawa Palestin ini bukan isu agama dan kaum, tetapi kemanusiaan.

“Selagi tak berlaku gencatan senjata, kita akan teruskan perjuangan Gaza,” katanya kepada pemberita, di sini, hari ini.

Terdahulu Chong bersama 13 individu lain dipanggil untuk memberi keterangan berhubung perhimpunan Kepung Demi Palestin di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Wangsa Maju, di sini, pagi tadi.

Perhimpunan selama enam hari itu dianjurkan Sekretariat Solidariti Palestin (SSP) di hadapan Kedutaan Amerika Syarikat (AS) di sini dari 26 hingga 31 Disember 2023.

Dalam pada itu, Chong berkata, MCA tiada halangan untuk memberi kerjasama dengan pihak berkuasa kerana penglibatannya dalam perhimpunan aman itu.

“Kami beri kerjasama penuh kepada PDRM.

“Sebenarnya tidak timbul isu bila polis panggil, sepanjang perhimpunan tidak timbul kekacauan mahupun rusuhan.

“Mungkin polis nak tahu apa sebenarnya berlaku (perhimpunan),” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast