KUALA LUMPUR – Seorang rakyat Malaysia terpedaya dengan sindiket pemerdagangan manusia di Myanmar sejak bulan lepas akibat terpengaruh dengan janji gaji yang lumayan.
Pegawai Perhubungan Awam Pertubuhan Kemanusiaan Malaysia (MHO), Daniel Khoo berkata, mangsa yang tiba di Bangkok, Thailand pada 12 Disember lalu dan sedar ditipu apabila diminta menyeberang sungai untuk ke Myanmar.
“Pihak sindiket kini meminta wang tebusan berjumlah AS$50,000 (RM232,225) dan jika tidak mampu mangsa sendiri perlu mencari dua lagi individu sepertinya sebelum dibebaskan,” katanya pada sidang media, di sini, hari ini.
Berikutan itu, mangsa menghubungi isterinya di Malaysia untuk memberitahu bahawa dia ditipu oleh syarikat yang menjanjikan pekerjaan dan meminta bantuan.
Menurut Daniel, menurut adik ipar mangsa, dia terperdaya dengan tawaran kerja yang diiklankan menerusi Facebook sebagai runner di negara jiran untuk seminggu dan gaji yang ditawarkan adalah antara RM6,000 hingga RM7,000 untuk seminggu.
Menurutnya, MHO sedang berusaha untuk membawa pulang mangsa serta pihaknya dalam perbincangan dengan kerajaan Malaysia dan Thailand untuk menyelamatkan mangsa yang kini berada di Myawaddy, Myanmar.
Sementara itu, Daniel memberitahu, pihaknya turut bekerjasama dengan kerajaan China untuk menyelamatkan mangsa-mangsa sindiket yang lain di kawasan tersebut.
Berikutan itu, Daniel turut mengingatkan orang ramai agar tidak mudah percaya dengan tawaran pekerjaan yang menjanjikan pulangan lumayan untuk kerja yang dianggap mudah terutama apabila berurusan di luar negara.
“Kepada mereka terutamanya yang mencari pekerjaan atas talian, tolong semak dahulu latar belakang syarikat terbabit sebelum menerima sesuatu pekerjaan dan semakan boleh dilakukan dengan agensi berkaitan atau dengan Kementerian Luar Negeri.
“Kalau boleh, tolong minta syarikat tersebut menyediakan permit kerja di negara terbabit terlebih dahulu. Jika tidak permit kerja, bagaimana boleh bekerja di negara lain?” ujarnya. – MalaysiaGazette