KUALA LUMPUR – Datuk Azizulhasni Awang mendapat tonik untuk meraih pingat emas pertama negara di Olimpik Paris selepas menimang cahaya mata keempat selepas isterinya Datin Athiah Ilyana Abd Samat melahirkan bayi di sebuah hospital di Melbourne, Australia, pagi semalam.
Jaguh berbasikal trek negara itu berkongsi kegembiraan di laman sosial miliknya, Facebook dan Instagram.
Namun, pemilik gelaran The Pocket Rocketman itu masih berteka-teki mengenai jantina anaknya yang dilahirkan beberapa minggu lebih awal dari jangkaan.
“Syukur isteri yang tersayang @tyailyana memberikan hadiah hari lahir yang sangat bermakna. Hadiah yang tidak disangka ini hadir beberapa minggu awal dan memberi kejutan besar buat kami sekeluarga,” kata Azizulhasni menerusi hantaran di Facebook.
Bayi keempat itu lahir pada tarikh sama dengan tarikh lahir pemenang pingat perak Olimpik Tokyo itu pada 5 Januari dan amat bermakna buat Azizulhasni yang menyambut ulang tahun kelahiran ke-36 tahun ini.
Beliau juga berkongsi pengalaman menemani isteri untuk pemeriksaan mingguan dan diikuti dengan doktor memberitahu yang bayi mereka sudah tidak sabar untuk keluar.
“Maka berakhirlah kami berdua di bilik bedah hanya beberapa jam selepas itu. Alhamdulillah syukur isteri dan baby sihat walafiat dan dilindungi oleh Allah SWT,” katanya.
Azizulhasni berada di Melbourne sebagai persiapan awal menjelang Olimpik Paris 2024, dengan menyertai siri perlumbaan di sana, selain memastikan anak-anaknya meneruskan pembelajaran di Australia.
“Masya Allah Tabarakallah sekarang saya adalah ayah kepada 4 orang anak, semoga Allah swt memberikan balasan syhurga kepada isteri yang banbyak berkorban. I Love you so much sayang.
“Agak-agak korang baby boy ke girl kali ini?”
Sebelum ini Azizulhasni masih ternanti-nantikan anak lelaki selepas kelahiran ketiga pada 15 Februari 2022, Athiah Ilyana melahirkan seorang lagi bayi perempuan. – MalaysiaGazette