Beberapa lokasi di Skudai, Kulai, Tebrau dan Larkin dilanda banjir kilat ekoran hujan lebat lebat dan fenomena air pasang dinegeri itu.

JOHOR BAHRU – Tiga lagi Pusat Pemindahan Sementara (PPS) dibuka di Johor iaitu di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Tiram dan Parlimen Tebrau iaitu Dewan Raya Sungai Tiram, Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Tiram dan SK Nam Heng pada jam 1 tengah hari tadi.

Setiausaha Kerajaan Negeri, Tan Sri Dr Azmi Rohani berkata, bagaimanapun jumlah terkini mangsa banjir di daerah itu masih belum diperoleh kerana pasukan petugas masih mengemas bilangan mangsa.

“Sebelum ini menurut rekod enam PPS di Johor Bahru yang dibuka sejak Isnin lalu telah ditutup secara berperingkat sehingga Sabtu, selepas keadaan banjir dilaporkan pulih dan mangsa dibenarkan pulang ke rumah masing-masing,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, jumlah mangsa banjir di negeri ini terus meningkat sejak jam 3 petang tadi apabila seramai 674 penduduk ditempatkan di 19 PPS.

“Semua mangsa banjir itu terdiri daripada 185 keluarga di empat daerah iaitu Kota Tinggi, Kluang, Mersing, Segamat dan Johor Bahru. Kota Tinggi antara daerah paling terjejas ketika ini dengan seramai 512 mangsa dipindahkan ke 12 PPS,” katanya.

Sementara itu, beberapa lokasi di Skudai, Kulai, Tebrau dan Larkin dilanda banjir kilat ekoran hujan lebat lebat dan fenomena air pasang. – MalaysiaGazette