Asdina tidak menjadikan segala kekurangan Syamimi untuk meninggalkannya.

MELAKA – “Saya masih ingat, dulu kalau saya demam Syamimi akan minta pada Allah supaya ‘pindahkan’ sakit itu padanya dan  berjanji untuk menjaga saya hingga ke akhir hayat.

“Sebab itu hari ini saya berpegang pada lafaz akad nikah kami pada 11 November 2018, janji saya pada Allah untuk menjaga amanah ini selagi nyawa dikandung badan tanpa perlu memikirkan untuk mencari isteri lain,”.

Itu luahan sebak dikongsi Asdina Arffin, 32, yang tular di media sosial TikTok mengenai ketabahannya menjaga isterinya, Noor Syamimi Rohim, 33, yang terlantar sepenuh, hilang penglihatan dan daya ingatan sejak Jun 2022.

Keadaan itu berpunca apabila isterinya itu disahkan mengidap meningitis tuberkulosis (MTB) atau otak dijangkiti kuman.

Asdina tidak melayani Syamimi sebagai pesakit, kerana mahu memberi kekuatan kepada isterinya itu supaya pulih seperti sedia kala.

Lebih memilukan, wanita itu tidak mengingati kebanyakan memori mereka sejak 2018 termasuk Asdina yang dipanggil ‘shuben’ sebagai suaminya yang dikenali pada 2017.

“Namun syukur Alhamdulillah kini selepas 18 bulan menguruskan Syamimi dengan bantuan ibu bapa dan ahli keluarga, semua urusan kami dipermudahkan.

“Saya percaya, segala kebaikan yang dibuat sebagai suami kepada Syamimi hari ini, Allah akan balas kebaikan itu kepada bidadari syurga saya ini,” katanya ketika ditemui pemberita di rumahnya di Taman Bertam Impian, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Asdina yang merupakan tukang rumah berkata, tidak pernah terlintas dalam fikirannya untuk mencari peganti lain di sebalik kekurangan isterinya itu walaupun mereka belum dikurniakan anak.

“Syamimi adalah amanah Allah dan kalau ujian ini pun saya gagal hadapi hingga perlu ‘jalan keluar’ mencari isteri lain dan Allah menguji lagi perkara sama bagaimana?

“Sebab itu saya redha dengan ketentuan ini malah segala apa rezeki yang saya dapat dari dulu hingga ke hari ini adalah berkat doa seorang isteri.

“Ini benar-benar terjadi waktu susah di awal pernikahan kami dulu Syamimilah yang akan beri keyakinan mengatakan selepas dia selesai khatam al-Quran pasti ada rezeki akan masuk dan itu memang benar-benar terjadi,” katanya mengesat air mata. – MalaysiaGazette.

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast