MELAKA – Segelintir ibu bapa yang menggunakan anak-anak mereka sebagai pengemis jalanan di negeri ini dikesan meraih pendapatan antara RM400 hingga RM600 sehari.
Pendapatan lumayan lebih RM12,000 sebulan itu diperolehi hasil mengemis di pusat pelancongan sekitar Banda Hilir yang menjadi tumpuan pengunjung sempena Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024).
Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri (JKM) Zulkifli Hanifah berkata, maklumat itu hasil pengakuan seorang wanita berusia 39 tahun yang menjadikan dua anak lelakinya berumur 13 dan 15 tahun sebagai penyanyi jalanan di kaki lima pusat beli belah Dataran Pahlawan sejak empat tahun lalu.
“Macam tadi kita dapat lihat dia kata boleh kutip antara RM400 hingga RM600 untuk satu malam dan kalau ikutkan jumlah itu memang cukup lumayan.
“Namun keadaan ini jika dibiarkan akan mengganggu kententeraman pelancong apabila pusat tumpuan ramai ini dipenuhi aktiviti tidak sihat (pengemis),” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menyetuai Ops Mengambil Orang Papa dak Kanak-Kanak Berjadual sempena TMM2024 di sekitar pusat bandar Melaka di sini selama enam jam berakhir pukul 2 pagi tadi.
Hadir sama Exco Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti negeri Datuk Kalsom Noordin.
Mengulas lanjut, Zulkifli berkata, pihaknya sedang menyiasat kemungkinan terdapat dalang lain yang melindungi perbuatan eksploitasi kanak-kanak oleh ibu bapa atau penjaga.
“Setakat ini kita hanya membuat jangkaan yang belum dapat disahkan secara rasmi sama ada kemungkinan ada dalang atau (penglibatan) kartel dalam aktiviti sebegini.
“KIta akan cuba siasat lagi dari semasa ke semasa untuk melihat trend seperti ini supaya tidak merosakkan usaha kerajaan negeri mempromosikan TMM2024,” katanya.
Dalam operasi malam tadi, umur yang ditahan JKM menahan lapan individu termasuk tiga kanak-kanak berusia 13 hingga 17 tahun kerana melakukan kesalahan di bawah Akta Orang-orang Papa 1977 dan Akta Kanak-Kanak 2001. – MalaysiaGazette