Jejambat eksklusif JL99 khas untuk penghuni 99 Residence di Selayang dibuka secara rasmi

KUALA LUMPUR – Syarikat pemaju hartanah terkemuka, Kumpulan JL99 mencipta sejarah apabila melancarkan secara rasmi jejambat (flyover) Legasi JL99 Group khusus untuk warga penghuni kondominium 99 Residence di KL North, JL Legacity Selayang di sini hari ini.

Pengerusi Eksekutif Kumpulan JL99, Datuk Seri Jeff Lee berkata, jejambat  itu yang menelan kos sebanyak RM18 juta adalah antara keistimewaan yang bakal dinikmati semua penghuni.

Ini katanya, untuk memberi akses warga 99 Residence untuk ke pusat bandar raya dan turut memainkan peranan sebagai laluan masuk utama ke kondominium berkenaan.

Bagaimanapun kata Jeff Lee, pengguna lain boleh melalui jejambat ini namun tidak boleh memasuki ruang kondominium dengan meletakkan laluan khas disitu.

“Kita mahu sediakan yang terbaik untuk penghuni 99 Residence. Kami di JL99 bukan hanya membangunkan dan membina kediaman sebaliknya ‘satu keistimewaan dan kemewahan’ untuk pembeli dan penghuni kondominium ini.

“Apa yang kita janjikan, itulah yang kita berikan sehabis baik kita. Walaupun jejambat ini boleh digunakan oleh warga awam yang melalui kawasan ini namun patinya tapisan yang ketat untuk semua pengguna bagi memastikan tahap keselamatan semua penghuni sentiasa terjaga,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.

Jejambat JL99 dibuka secara rasmi hari ini.

Menurut beliau, syarikatnya telah mengambil masa 18 bulan untuk membina jejambat terbabit dan sepanjang pembinaan pelbagai ujian telah dilakukan bagi memastikan ianya benar-benar selamat.

Katanya, keselamatan adalah elemen utama yang sentiasa diguna pakai sepanjang hayat JL99 Group.

“Jejambat ini menepati piawaian ditetapkan pihak berkuasa, dan berjaya melepasi semua ujian keselamatan dilakukan. Kita tidak akan sesekali kompromi isu seperti itu demi kaut keuntungan. Untung atau rugi, keselamatan dan keselesaan itu penting,” ujarnya.

Tambah Jeff Lee lagi, 99 Residence juga memiliki empat tapisan keselamatan bermula dari jejambat itu bagi memastikan ia tidak boleh diceroboh.

“Kondominium ini ada pelbagai ruangan untuk beriadah atau aktiviti rekreasi. Kami mahu semua keselamatan semua penghuni di setiap lokasi berkenaan sentiasa terjamin,” jelasnya.

99 Residence memiliki lima zon fasiliti yang terletak di aras 1, aras 10 dan aras bumbung.

Di aras 1 menempatkan trek joging dan brisk walking manakala aras 10 menempatkan Zon Aqua, Taman, Harmoni dan Energetic.

Menariknya di aras 10 pula para penghuni dapat menikmati aktiviti riadah termasuklah kolam renang, bersenam, taman permainan, bilik aerobik, gelanggang skuasy dan dewan serba guna yang turut dilengkapi gelanggang badminton. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast