KUALA LUMPUR – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) berjaya mematahkan cubaan menyeleweng ribuan liter minyak bersubisidi yang dilakukan seorang lelaki di sebuah stesen minyak di Puncak Alam, Selangor, semalam.
Ketua Pegawai Penguatkuasa KPDN Selangor, Mohd. Khairi Jamaludin berkata, tindakan lelaki berusia 30-an itu berjaya dihidu susulan rondaan dan pemantauan Ops Tiris yang dilakukan pihaknya selepas mengesan sebuah lori bonded sedang mengisi minyak di pam bernombor di sebuah stesen minyak.
Katanya, pasukan penguatkuasa yang membuat rondaan telah membuat pemeriksaan ke atas lori bonded tersebut dan menemui seorang lelaki sedang mengisi minyak diesel dengan menggunakan dua nozel yang diisi secara serentak ke dalam tangki minyak kenderaan tersebut.
“Hasil pemeriksaan lanjut turut mendapati terdapat enam tong plastik berkapasiti seribu liter dalam ruang kargo lori tersebut dan minyak yang diisi melalui tangki asal lori dipam masuk ke dalam empat unit tangki plastik yang telah diubahsuai.
“Pemandu lori tersebut juga gagal mengemukakan apa-apa dokumen kebenaran daripada pihak KPDN berkaitan urusniaga dan pemilikan barang kawalan berjadual iaitu minyak diesel,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mohd. Khairi berkata, pasukan penguatkuasa juga membuat pemeriksaan ke atas premis stesen minyak berkenaan dan
telah mengeluarkan satu akuan pemeriksaan kepada seorang lelaki warganegara Malaysia yang ditemui di stesen minyak sedang bertugas sebagai juruwang.
Ujarnya, anggota serbuan juga telah merampas dan mengeluarkan satu Akuan Sitaan terhadap beberapa dokumen dan barang peralatan yang ditemui di tempat kejadian yang melibatkan aktiviti pengisian minyak diesel oleh pemandu lori tersebut.
Tambah beliau, nilai sitaan melibatkan bahan api yang disyaki minyak diesel adalah dianggarkan RM4,300 dengan anggaran nilai sitaan keseluruhan dalam tindakan kes tersebut adalah sejumlah RM51,150.
Katanya, siasatan lanjut bagi kes tersebut sedang dijalankan dan KPDN mengadakan siasatan lanjut bagi menjejak
dalang di sebalik penyelewengan itu. – MalaysiaGazette