KUALA LUMPUR – Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) Datuk Hamidin Mohd Amin menaruh harapan pengadil Muhammad Nazmi Nasaruddin serta penolong pengadil Mohamad Zairul Khalil Tan dan Mohd Arif Shamil Abd Rasid melaksanakan tugas dengan jayanya pada Piala Asia 2023 di Doha, Qatar bermula 12 Jan-10 Feb ini.
Hamidin berkata mereka perlu kekal fokus dan membuktikan pengadil dari Malaysia mampu mengadili perlawanan sebaiknya bagi meningkatkan peluang disenarai pendek untuk ditugaskan pada Piala Dunia 2026 di Kanada, Mexico dan Amerika Syarikat.
“Harapan peminat Malaysia inginkan pasukan kebangsaan kita untuk cemerlang di Piala Asia 2023 ini tetapi peminat dan FAM juga sendiri inginkan Nazmi dan juga dua penolong pengadil ini untuk layak ke Piala Dunia 2026.
“Jadikan pentas Piala Asia 2023 ini sebagai medan terbaik untuk anda bertiga terpilih dalam kalangan 10 set pengadil dari Asia layak ke Piala Dunia 2026 yang peluang untuk mencipta sejarah pengadil Malaysia mengadili perlawanan Piala Dunia lebih cerah kerana penyertaan 48 pasukan buat kali pertama,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sesi pertemuan bersama ketiga-tiga mereka di Doha. Video pertemuan itu dikongsikan kepada media oleh FAM.
Belum ada lagi pengadil dari Malaysia ditugaskan mengadili perlawanan Piala Dunia.
Pada Piala Asia 2023, Malaysia yang menamatkan penantian 42 tahun untuk layak ke Piala Asia secara merit akan memulakan kempen Kumpulan E menentang Jordan pada 15 Jan, diikuti Bahrain (20 Jan) dan juara dua kali Korea Selatan pada 25 Jan ini.
Hanya juara dan naib juara setiap kumpulan bersama empat pasukan ketiga terbaik akan layak untuk pusingan 16 pasukan di Doha.
Ini merupakan penampilan keempat Malaysia dalam Piala Asia selepas layak secara merit pada 1976 di Iran, 1980 di Kuwait dan sebagai tuan rumah bersama pada 2007.
Malaysia tidak pernah mara ke pusingan 16 pasukan terbaik dalam Piala Asia pada tiga edisi sebelum ini.
Sebagai acara pemanas badan, pasukan bimbingan Kim Pan Gon dijadual bertemu Syria bagi perlawanan persahabatan antarabangsa Isnin ini.- BERNAMA