Harimau Bengal Putih dikenali Elsa di Zoo Melaka yang didakwa tidak diuruskan dengan baik sehingga kurus sebenarnya mempunyai masalah kesihatan berkaitan tulang.

MELAKA – Harimau Bengal Putih dikenali Elsa di Zoo Melaka yang didakwa tidak diuruskan dengan baik sehingga kurus sebenarnya mempunyai masalah kesihatan berkaitan tulang.

Yang Dipertua Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ) Datin Sapiah Haron berkata, tulang bahagian belakang, punggung, dan rahang haiwan itu tidak sempurna seperti kebiasaan.

Selain itu, masalah berpunca daripada kacukan dalam keluarga sama itu juga menyebabkan selera makannya juga kurang kerana sering mahukan perhatian dari penjaga zoo.

“Ini menjadikan Elsa istimewa kerana sejak lahir tujuh tahun lalu kami menjaganya dengan penuh kasih sayang sehinggakan makan pun terpaksa bersuap.

“Jika tidak, ia hanya akan makan tiga atau empat kilogram (kg) ayam sehari sedangkan kami sediakan lima kg ayam untuknya yang kini sudah mencapai berat 70 kg berbanding hanya 50 kg pada 2019.,”

katanya ketika ditemui di Zoo Melaka di sini hari ini.

Sapiah Haron

Semalam tular di media sosial video berdurasi 22 saat mendakwa keadaan kurus Elsa berpunca daripada kelaparan dan mahu pihak zoo memulangkan haiwan itu dipulangkan ke habitat asal.

Mengulas lanjut, Sapiah berkata, Elsa juga memerlukan diet pemakanan khas yang dipantau doktor veterinar kerana tidak boleh terlalu berat yang akan menyebabkan ia sukar untuk bergerak.

“Untuk mengelakkan isu ini berulang, kita akan meletakkan papan tanda makluman mengenai masalah kesihatan Elsa ini supaya tidak timbul salah tanggapan dalam kalangan pengunjung.

“Sebenarnya, semua 627 haiwan daripada 300 spesies di zoo ini perlu mengikut diet pemakanan yang dipantau doktor untuk mengelakkan ia obesiti,” katanya. – MalaysiaGazette