PUTRAJAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan merujuk kepada Jabatan Kemajuan Islam (Jakim) terlebih dahulu sebelum mengeluarkan petikan ayat al-Quran dan tafsirannya bagi mengelakkan sebarang kontroversi berulang pada masa depan.
Tidak bermaksud mempertahankan pendiriannya berhubung isu kisah Ashabul Kahfi baru-baru ini, sebaliknya menekankan mengenai soal nilai dan akhlak.
Anwar menjelaskan, beliau sudah mengulang teliti semula ucapan yang dirakam.
“Maksud saya ialah dalam keghairahan kita memacu pertumbuhan ekonomi, digital, meningkat mutu kesihatan, jangan tinggal soal nilai kemanusiaan.
“Saya syukur kerana apa yang dilontarkan pada Perhimpunan JPM (Jabatan Perdana Menteri) ini menimbulkan minat terutama kepada anak-anak muda untuk membaca dan menelaah.
“Jadi bukan sekadar membaca al-Quran menafsirkan dan menelaah lebih mendalam dan saya anggap penting bulan-bulan lain saya baca ayat Al-Quran lain dan tafsir supaya mengalakkan ada perbahasan lain. Tapi saya rujuk Jakim dahulu supaya elak dari kontroversi,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perhimpunan Jabatan Perdana Menteri di sini hari ini.
Sebelum ini, tular dalam media sosial seorang penceramah bebas mengupas ucapan Anwar berkaitan tujuh pemuda Ashabul Kahfi ketika menyampaikan ucapan pada Perhimpunan Bulanan JPM, bulan lalu.
Perdana Menteri menambah, beliau mengaitkan kisah tersebut seperti dalam surah al-Kahfi yang mana pada masa itu, sistem dan kerajaan serta raja yang zalim berkenaan menyembah berhala, ditolak orang beriman termasuk tujuh pemuda terbabit yang kemudian berlindung di dalam sebuah gua.
Namun Anwar dalam penjelasannya berkata, pandangan tentang kisah tujuh pemuda Ashabul Kahfi itu telah disalah tafsir oleh pihak tertentu.
Menurut beliau, ada yang mengupas pandangan tersebut sehingga melibatkan cacian dan cemuhan kepada sesetengah pihak termasuk pendakwah dan ulama.
Anwar berpandangan, perkara itu adalah keterlaluan dan tidak sepatutnya terjadi. – MalaysiaGazette
















