Amzan Abdul Malek

ROMPIN – Seramai 57 calon peperiksaan Ujian Bertutur Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang terjejas akibat banjir di negeri ini selamat dipindahkan ke pusat peperiksaan hari ini bagi menduduki ujian bertutur bahasa Melayu yang dijadualkan hari ini.

Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Pahang, Amzan Abdul Malek berkata, kesemua calon itu daripada 10 pusat peperiksaan di sekolah membabitkan daerah Pekan, Rompin dan Maran telah dipindahkan secara berfasa.

”Daripada jumlah itu, 16 calon telah dipindahkan ke asrama dan 15 buah sekolah untuk menduduki peperiksaan.

”Manakala 12 calon lagi ditempatkan di rumah saudara-mara, rumah kawan dan termasuk di pusat pemindahan sementara (PPS) di daerah masing-masing.

”Seramai 29 calon yang terkandas akibat jalan terputus pula diusahakan untuk dipindahkan dan diuruskan bagi mengambil peperiksaan,” katanya ketika dihubungi MalaysiaGazette hari ini.

Menurut Amzan, calon yang terkesan banjir tidak perlu khuatir kerana masih boleh menduduki peperiksaan berkenaan berikutan pihak kementerian menyusun waktu Ujian Bertutur Bahasa Melayu bagi memberikan peluang kepada semua calon supaya tidak tercicir.

”Murid yang terjejas banjir difahamkan oleh Pegawai Pendidikan Daerah (PPD) telah diambil dan dibawa pusat untuk menduduki peperiksaan hari ini.

”Yang kedua, pihak kami akan menganjalkan jadual peperiksaan ujian lisan berkenaan supaya fleksibel kepada pelajar terkesan banjir dapat menduduki peperiksaan itu.

”Ini bermakna mereka masih berpeluang menduduki peperiksaan itu, dianjalkan waktunya dari Selasa sehingga Khamis ini. Jika tidak boleh juga, kita pindahkan ke pusat paling hampir dengan kawasan pelajar,” tambah Amzan.

Sementara itu,  pihaknya akan berusaha membuat persiapan rapi dan alternatif lain bagi membolehkan pelajar yang terkesan banjir menduduki di pusat peperiksaan masing-masing bagi mengambil kertas SPM lain nanti seandainya banjir di negeri ini masih berterusan.

Untuk rekod, seramai 20,270 calon SPM 2023 membabitkan 258 pusat peperiksaan di Pahang memulakan kertas peperiksaan Ujian Bertutur Bahasa Melayu 1103/3  hari ini.

Mereka terdiri daripada  17,246 calon sekolah KPM,  Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) (833); Sekolah Menengah Agama Negeri (SMAN)(1,233) ; swasta (248) persendirian  (622) dan Sekolah Agama Rakyat (SAR)(88) calon.

Peperiksaan SPM 2023 seluruh negara bermula 8 Januari sehingga 7 Mac ini  membabitkan 395,870 calon berdaftar dan dilaksanakan di 3,340 pusat peperiksaan di seluruh negara.– MalaysiaGazette.