PUTRAJAYA – Gerakan Menuntut Malaysia Bersih (GMMB) menggesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menjalankan siasatan terhadap sembilan individu yang didakwa terlibat dalam siasatan Kertas Pandora (Pandora Papers).
Timbalan pengerusinya, Syarul Ema Rena atau dikenali sebagai Ratu Naga mendakwa, sembilan individu itu membabitkan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Zahid Hamidi dan Menteri Pedagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz.
Selain itu, Timbalan Menteri Ekonomi, Datuk Hanifah Hajar Taib, Ahli Parlimen Selayang, William Leong, bekas Pengerusi Felcra, Datuk Yamani Hafez Musa, ahli Perniagaan, Datuk Seri Mahmud Abu Bekir Taib, bekas Ahli Parlimen Sarawak, Tiong Hiew King, ahli korporat, Datuk Seri Tiong Ik King dan Ahli Perniagaan, Tan Sri Lim Kok Thay.
“Kami membuat laporan pada SPRM kerana rakyat Malaysia menuntut supaya undang-undang harus dilakukan sama rata dan adil pada semua pihak tidak kisah pada sesiapa bukan secara selektif.
“Kalau seorang terlibat, semua dalam senarai itu perlu dikenakan. Bukan dikecualikan sebab rapat dengan seseorang, dia tidak dikenakan tindakan.
“Dalam senarai nama Kertas Pandora, sembilan org ini ada disebut kertas itu namun yang kita lihat kenyataan SPRM hanya siasat Tun Daim Zainuddin sahaja,” katanya dalam sidang media di sini hari ini.
Terdahulu Ratu Naga bersama pasukannya hadir di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya sekitar 11.40 pagi untuk menghantar laporan gesaan siasatan terhadap sembilan individu terlibat.
Dalam pada itu, beliau memaklumkan terdapat beberapa nama lain akan dikemukakan untuk disiasat namun beliau tidak memperincikannya kerana siasatan sudah dijalankan ke atas mereka.
Ratu Naga menjelaskan, tindakan itu dibuat susulan kenyataan SPRM pada 30 Disember 2023 yang membuka kertas siasatan terhadap Tun Daim berdasarkan maklumat daripada Kertas Pandora.
Selain itu, tindakan SPRM yang dilihat hanya melakukan serbuan ke atas hartanah dan rumah milik bekas Menteri Kewangan itu serta mengheret semua pekerja Daim untuk diambil keterangan.
“Persoalannya, mengapa siasatan dijalankan secara selektif terhadap Tun Daim Zainuddin sahaja memandangkan adalah diketahui umum Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menganggap Tun Daim sebagai musuh politiknya dan sering mengeluarkan kenyataan mengkritik beliau. Ini menimbulkan soal kebebasan serta integriti institusi.
“Oleh yang demikian, kami menggesa demi keadilan, dan kesaksamaan agar pihak SPRM turut membuka siasatan terhadap individu-individu yang disenaraikan,” jelasnya. – MalaysiaGazette