KUALA LUMPUR – Pengguna jalan raya yang menyalaggunakan lorong bas akan dikenakan denda tidak lama lagi.
Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook, langkah itu adalah sebahagian daripada usaha untuk meningkatkan jumlah penumpang pengangkutan awam khususnya yang menaiki bas.
Menurutnya, Laporan Prasarana 2023 Prestasi dan Rancangan Masa Depan menunjukkan purata penumpang harian bagi perhidmatan bas tahun lepas ialah 241,000 orang dan pada tahun ini peningkatan disasarkan kepada seramai 285,000 orang.
“Orang ramai memilih untuk tidak menaiki bas kerana mereka akan terperangkap dalam kesesakan lalu lintas. Jadi, kekerapan bas tidak dapat diramalkan. Kita sedang menangani isu tersebut.
“Sebab itu kita berusaha keras untuk memperkenalkan lorong bas. Kita mempunyai dua lorong bas buat masa ini iaitu di Jalan Ampang dan Jalan Genting Klang.
“Jika kedua-dua laluan ini berjaya digunakan sebaiknya, kita sedang melihat untuk membuka lebih banyak lagi laluan seperti itu,” katanya pada sidang media selepas mengikuti Pembentangan Laporan Prestasi 2023 Perkhidamatan Prasarana di sini, hari ini.
Menurut Anthony, pihaknya juga sedang bekerjasama dengan pihak berkuasa tempatan bagi dalam meluaskan laluan bas di Jalan Ampang dan Jalan Klang Lama.
Jelasnya, terdapat juga pembesaran lorong bas kekal di Jalan Ampang dan Jalan Genting Klang.
Katanya lagi, bagi tahun ini, sebanyak 117 perhentian bas, 11 laluan pejalan kaki dan 15 hab bas juga akan dinaik taraf. – MalaysiaGazette