Anwar Ibrahim berucap di Majlis Perhimpunan Warga Kementerian Kewangan di Putrajaya pagi ini.

PUTRAJAYA – Dua agensi utama kerajaan iaitu Lembaga Hasil Dalam Negara (LHDN) dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) menerima pujian Datuk Seri Anwar Ibrahim selepas berjaya melepasi sasaran kutipan hasil yang ditetapkan.

Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan berkata, Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) berjaya mengutip sebanyak RM183 bilion, manakala Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) mengutip hasil mencecah RM55 bilion.

LHDN menyasarkan kutipan cukai RM176 bilion pada tahun lalu, selepas merekod kutipan RM175.4 bilion pada 2022.

Manakala JKDM pula mengunjurkan kutipan cukai berjumlah RM53 bilion pada tahun lalu, selepas merekodkan kutipan RM53.5 bilion sepanjang 2022.

“Kita akhirnya capai unjuran yang tidak selalu kita capai. Kalau kastam (JKDM) memang lebih daripada yang diunjurkan,” katanya ketika berucap dalam Perhimpunan Bulanan Kementerian Kewangan, pagi tadi.

Turut hadir, Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan; Timbalan Menteri Kewangan, Lim Hui Ying dan Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Datuk Johan Mahmood Merican.

Anwar turut menzahirkan penghargaan kepada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) disebabkan kutipan hasil tertinggi.

Beliau bagaimanapun tidak memperincikan angka berkenaan.

Dalam pada itu, Anwar mahu syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) untuk mengurangkan pelaburan di luar negara dan memberi fokus kepada pelaburan domestik.

Jelas Anwar, langkah itu penting bagi memastikan jenis pelaburan tersebut menjanjikan keuntungan munasabah.

“Apa kemunasabahan kita mengadakan kempen menarik pelaburan asing ke Malaysia kalau syarikat utama kita tidak ada keupayaan untuk memastikan jenis pelaburan yang menarik dan memberi keuntungan.

“Kita harus beri kelonggaran (pelaburan luar negara), kita akan bincang sekali lagi sama ada 20 atau 25 peratus, saya belum pasti tetapi tentu ada tanggungjawab untuk sama-sama memikirkan keperluan untuk meningkatkan pelaburan dalam negara,” katanya. – MalaysiaGazette