Mogan menunjukkan pakaian tiruan yang dirampas pihaknya dalam serbuan di sebuah unit PPR di Air Itam, Pulau Pinang hari ini.

GEORGE TOWN – Tindakan seorang lelaki menjual pakaian berjenama tiruan secara dalam talian berputih mata apabila pusat jualannya diserbu Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Pulau Pinang hari ini.

Serbuan jam 3 petang itu membawa kepada tangkapan lelaki berusia 27 tahun yang menyewa sebuah unit Projek Perumahan Rakyat (PPR) di Lebuh Raya Thean Teik, Air Itam di sini untuk menempatkan stok baju serta dijadikan lokasi penjualan secara dalam talian.

Timbalan Pengarah KPDN negeri, A. Mogan berkata, hasil pemeriksaan pihaknya berjaya merampas 5,050 helai pakaian pelbagai jenama tiruan dengan nilai keseluruhan berjumlah RM40,400.

Jelas beliau, pakaian yang dirampas menggunakan cap dagangan berdaftar dipakaikan secara salah iaitu jenama Nike, Puma, Adidas, Chanel dan Louis Vuitton.

Mogan.

“Hasil soal siasat awal terhadap lelaki tersebut mendapati dia menyewa kediaman itu pada kadar RM500 sebulan dan bekalan baju itu diperoleh daripada pembekal tempatan yang disimpan di kediaman tersebut sejak 2020.

“Bagaimanapun, lelaki tersebut mengaku hanya mula menjual baju tiruan itu sejak enam bulan lalu secara dalam talian khususnya secara langsung (live) menerusi beberapa platform media sosial.

“Siasatan juga mendapati dia mampu menjana keuntungan RM1,000 sehari dengan hasil jualan baju tiruan tersebut,” katanya kepada pemberita di lokasi serbuan di sini, hari ini.

Mengulas lanjut Mogan berkata, lelaki tersebut memberi kerjasama ketika serbuan dilakukan namun pihaknya berdepan cabaran untuk mengeluarkan serta mengira baju-baju tersebut susulan hampir keseluruhan ruang rumah dilengkapi tiga bilik itu dipenuh baju.

Keseluruhan unit PPR yang dilengkapi tiga bilik itu penuh dengan timbunan baju tiruan pelbagai jenama.

“Lelaki tersebut kini ditahan bagi membantu siasatan lanjut dan kes disiasat mengikut Akta Cap Dagangan 2019,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Mogan turut memberi amaran kepada peniaga yang mengaut keuntungan daripada hasil jualan barangan tiruan.

“Tindakan tegas akan diambil terhadap mereka yang didapati menjual barangan tiruan dan orang awam juga diminta menyalurkan maklumat sekiranya ada aktiviti penjualan sebegini,” katanya. – MalaysiaGazette