Universiti Malaya di Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 28 OGOS 2019

KUALA LUMPUR – Universiti Malaya (UM) memandang serius aduan awam berkaitan perkhidmatan pengendali makanan sekitar kampus yang tidak memuaskan baru-baru ini.

Menurut kenyataan universiti itu, pihaknya sudah mengambil maklum berkaitan aduan itu dan dalam proses mengambil tindakan sewajarnya.

“Pengurusan Universiti juga menghargai maklum balas seperti yang dibangkitkan serta sentiasa berusaha untuk menambahbaik mutu perkhidmatan yang disampaikan.

“Kebajikan pelajar merupakan perkara penting lebih-lebih lagi yang melibatkan keperluan asasi para pelajar seperti makanan.

“Warga kampus boleh membuat aduan ke sistem Helpdesk di mana setiap aduan berkaitan akan diberi maklumbalas dan akan dimajukan kepada jabatan yang terlibat untuk tindakan selanjutnya,” katanya.

Dalam pada itu, UM memaklumkan universiti itu akan menyalurkan maklumat berkaitan mutu perkhidmatan terus kepada pengendali premis makanan untuk tindakan penambahbaikan dan amaran atau peringatan.

Katanya, jika aduan berlanjutan, maka pihak pengurusan tidak akan teragak-agak untuk menamatkan kontrak serta menyenarai hitam syarikat di universiti itu.

Dalam pada itu, Jabatan Hal Ehwal Pelajar (JHEP) difahamkan melakukan pemeriksaan secara berkala kepada setiap premis makanan.

“Setiap teguran akan direkod untuk penambahbaikan dan pencegahan kepada masalah berkaitan pencemaran makanan dan keracunan makanan.

“Klinik Kesihatan Universiti Malaya dan Kementerian Kesihatan Malaysia juga memainkan peranan sekiranya terdapat kes keracunan makanan dilaporkan dengan menjalankan terus pemeriksaan kepada premis yang dikenalpasti,” katanya.

UM pernah menyenarai hitam sebuah syarikat kerana prestasi yang kurang memuaskan. – MalaysiaGazette