KUALA LUMPUR – Sebanyak 80 peratus pelajar dalam kalangan kurang berkemampuan (B40) melepasi Ujian Kecenderungan Kemasukan MRSM (UKKM) dan layak untuk ditawarkan tempat tahun ini.
Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA), Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, keputusan kemasukan pelajar itu akan mula disiarkan pada 18 Januari ini.
“Insya-Allah keputusan kemasukan akan mula disiarkan 18 Januari ini,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya hari ini.
Pada Oktober tahun lepas, Asyraf Wajdi memaklumkan MRSM menerima lebih 104,000 permohonan bagi kemasukan pelajar untuk sesi persekolahan 2024.
Katanya, ia adalah untuk mengisi 8,679 tempat yang ditawarkan di 57 MRSM di seluruh negara.
Menurutnya, jumlah pengambilan pelajar itu termasuk bagi mengisi kekosongan MRSM yang baharu iaitu MRSM Ranau, Sabah dan MRSM Bintulu di Sarawak.
Ujarnya, semua calon yang memohon perlu menduduki UKKM bermula pada 1 November lepas.
Beliau turut memberi jaminan, pihaknya akan memastikan kemasukan pelajar menepati matlamat yang ditetapkan oleh MRSM. – MalaysiaGazette