KUALA LUMPUR – Bangunan Panggung Istana Budaya yang menjadi pusat tumpuan para penggiat seni tanah air bagi menganjurkan pementasan bertaraf antarabangsa di Panggung Sari akan ditutup mulai 15 Januari 2024.
Ketua Pengarah Istana Budaya, Zubaidah Mukhta berkata, langkah itu sudah diluluskan oleh Jabatan Kerja Raya, JKR.
Katanya, penutupan itu penting bagi memudahkan kerja penyelenggaraan dan penambahbaikan khususnya dalam menaik taraf struktur bumbung Istana Budaya.
“Penutupan itu adalah bagi tempoh dua tahun sehingga 5 Januari 2026, bersamaan Tahun Melawat Malaysia 2026,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Zubaidah memberi jaminan, Istana Budaya akan mengekalkan peranannya di sepanjang tempoh penutupan itu.
Ini termasuk melalui Kempen Gerak, mempamerkan persembahan seperti Orkestra Tradisional Malaysia (OTM), Orkestra Simfoni Kebangsaan (OSK) dan Artistana katanya.
Tambah beliau, Istana Budaya kekal komited untuk memupuk perkongsian pintar dengan syarikat tempatan dan bekerjasama dengan bakat artistik tempatan untuk menganjurkan persembahan yang menarik di dalam dan di peringkat antarabangsa. – MalaysiaGazette