KUANTAN – Seorang lelaki ditemui maut berhampiran tong sampah dipercayai terjatuh di sebuah pusat membeli belah, di sini, hari ini.
Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Kommisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata, dalam kejadian jam 7.25 pagi, mangsa yang berusia 32 tahun itu ditemui tukang cuci yang baharu memulakan tugasan di pusat beli belah tersebut.
“Pemeriksaan tubuh badan si mati menemui beg duit mengandungi dokumen diri dan telefon bimbit.
“Hasil pemeriksaan lanjut berkemungkinan kaki sebelah kiri si mati patah.
“Pekerja pembersihan itu kemudiannya memaklumkan pengawal keselamatan dan telah menghubungi pihak polis,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette.
Rakaman kamera litar tertitup (CCTV) di lokasi kejadian tidak memaparkan insiden itu namun pihak polis telah meminta pengawal keselamatan membuat semakan semula rakaman.
Menurut Wan Mohd Zahari, kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut dan mayat mangsa dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Afzan bagi proses bedah siasat. – MalaysiaGazette