KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi Syariah di sini menetapkan 14 Mac depan bagi prosiding tuntutan harta sepencarian RM2 bilion yang difailkan balu Allahyarham Tan Sri Jamaluddin Jarjis bersama empat anaknya dan ibu mentua.
Prosiding hari ini juga terpaksa ditangguhkan selepas dimaklumkan sebelum ini Mahkamah Rayuan Syariah telah menangguhkan prosiding sehingga semakan terhadap perintah yang mengarahkan tuntutan harta sepencarian itu dibicarakan diputuskan.
Perkara itu telah dimaklumkan oleh peguam mewakili isteri Jamaluddin, Nur Hidayah A Bakar kepada media hari ini.
Peguam mewakili isteri Jamaluddin, Puan Sri Kalsom Ismail pada 2018 telah memfailkan tuntutan harta sepencarian termasuk 20 hartanah di Malaysia dan Makkah serta beberapa syarikat lain yang berkaitan.
Beliau telah menamakan empat anak dan ibu mentuanya sebagai defendan.
Untuk makluman juga, sehingga hari ini, prosiding tuntutan harta sepencarian sudah memakan masa lebih enam tahun namun belum ada sebarang penyelesaian antara mereka.
Pada 1 November 2022, Mahkamah Tinggi Syariah memaklumkan kes ini yang bernilai RM2 bilion kemungkinan akan dapat diselesaikan tanpa perbicaraan.
Untuk makluman, Jamaluddin yang juga bekas Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi serta bekas Duta ke Amerika Syarikat (AS) terbunuh dalam nahas helikopter ketika dalam perjalanan dari Pekan, Pahang, ke ibu negara pada 4 April 2015.
Turut maut ialah juruterbang kapal, Clifford William Fournier, Ketua Setiausaha Sulit kepada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, Datuk Seri Azlin Alias, seorang ahli perniagaan, Datuk Tan Huat Seang; pegawai peribadi Jamaludin, Razakan Seran serta seorang wanita yang dikenali sebagai Aidana Baizieva. – MalaysiaGazette