Ng Tze Yong. Foto Facebook FAM.

KUALA LUMPUR – Pemain perseorangan lelaki negara, Ng Tze Yong memulakan saingan musim ini dengan insiden sedih apabila terpaksa menarik diri di pusingan pertama Petronas Terbuka Malaysia, sebentar tadi.

Tze Yong hanya sempat beraksi selama 13 minit sebelum terpaksa membuat keputusan menarik diri ketika ketinggalan 8-11 pada set pertama menentang pemain Jepun, Koki Watanabe pada aksi yang berlangsung di Axiata Arena Bukit Jalil.

Menurut Facebook rasmi Persatuan Badminton Malaysia, pemain ranking ke-15 dunia itu mengalami kecederaan dan diharap kembali cepat sembuh.

Keputusan itu menyaksikan tiada lagi wakil negara dalam acara perseorangan lelaki pada kejohanan kali ini selepas pemain profesional, Lee Zii Jia turut tersingkir di pusingan pertama susulan kekalahan di tangan wakil China, Lu Guang Zu, semalam.

Sementara itu, beregu wanita negara, Anna Cheong-Teoh Mei Xing turut gagal melangkah ke pusingan kedua selepas tunduk di tangan pasangan Korea Selatan, Baek Ha Na-Lee So Hee.

Anna-Mei Xing terpaksa akur dengan kehebatan pilihan kedua kejohanan itu apabila tewas 14-21, 13-21. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast