KUALA LUMPUR – Polis menahan tiga remaja kerana terlibat dalam satu kes samun berkumpulan melibatkan mangsa seorang lelaki warga asing dalam kejadian di Taman Connaught, Cheras di sini hari ini.
Timbalan Ketua Polis Daerah Cheras, Superitendan Ridzuan Khalid berkata, ketiga-tiga suspek berusia 14 hingga 15 tahun itu telah menyamun mangsa dengan menggunakan senjata pisau.
Bagaimanapun, mangsa tidak mengalami sebarang kecederaan dalam kejadian itu.
“Kesemua mereka tidak memiliki sebarang rekod lampau dan telah direman selama lima hari bermula hari ini hingga 14 Januari,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Ridzuan berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan. – MalaysiaGazette