Lee Zii Jia.

KUALA LUMPUR – Pemain perseorangan lelaki profesional negara Lee Zii Jia, menghormati keputusan bekas penolong jurulatih Liew Daren untuk meninggalkan pasukannya Team LZJ bulan lepas.

Zii Jia bagaimanapun percaya kehadiran empat rakan sepelatihnya (sparring partner) termasuk dua bekas pemain kebangsaan Lim Chong King dan Lee Shun Yang, mampu mengisi kelompangan yang ditinggalkan Daren.

“Sesi sparring tetap sama, baru-baru ini pun dah tambah Chong King dan Shun Yang untuk bantu saya,” katanya ketika ditemui selepas tersingkir pada pusingan pertama Terbuka Malaysia 2024 di tangan wakil China, Lu Guang Zu, 21-16, 19-21, 15-21, di sini, semalam.

Pemain ranking ke-11 dunia itu juga berkata jurulatihnya Wong Tat Meng, menyifatkan kehadiran Chong King dan Shun Yang juga dilihat baik untuk membantunya dalam sesi latihan.

Selepas hampir dua tahun berkhidmat bersama Zii Jia, Team LZJ dalam kenyataan memaklumkan Daren meninggalkan mereka atas alasan peribadi.

Bekas pemain perseorangan lelaki profesional itu bersara pada bulan April lepas, sebelum memikul tugas membimbing Zii Jia sebagai pembantu jurulatih secara sepenuh masa.

Daren, 36, pernah mencapai ranking ke-10 dunia dan merupakan sebahagian daripada pasukan negara yang memenangi emas pada Sukan Komanwel Glasgow 2014, selain merangkul gangsa pada Kejohanan Dunia 2018 di Nanjing, China. – BERNAMA