ALOR SETAR – Bursa Malaysia menyalurkan sumbangan kepada 10 pelajar dari Pusat Pengajian Ekonomi, Kewangan, dan Perbankan (SEFB), UUM , baru-baru ini.
Sumbangan itu diserahkan oleh Ketua Pegawai Eksekuti Bursa Malaysia, Datuk Muhamad Umar Swift.
Umar berkata, sumbangan bernilai RM84,000 itu bertujuan untuk membantu pelajar UUM membiayai kos pengajian mereka dan ia juga diharapkan dapat menyuntik semangat pelajar untuk terus cemerlang.
Beliau telah dijemput sebagai penceramah jemputan dalam program CEO Talk: Reflections On Leadership and Success bersempena program SEFB’s Vision For The Future: 40 Years Of UUM Excellence, di Auditorium SOIS, di sini.
Dalam program itu, Umar berkata, kepimpinan yang berkesan memainkan peranan penting dalam landskap perniagaan dan industri yang bergerak pantas.
“Kepimpinan merujuk kepada seseorang yang berautoriti yang boleh memberi pengaruh kepada orang lain dalam sesuatu organisasi.
“Ia dapat membimbing organisasi melalui cabaran dan mendorong ke arah pencapaian baharu,” katanya.
Menurut beliau, Bursa Malaysia telah meraih pelbagai pencapaian dan pengiktirafan di peringkat tempatan dan antarabangsa sepanjang operasinya.
Semua ini dapat dicapai dengan komitmen dan dedikasi penuh daripada pemimpin hebat yang menumpukan masa mereka untuk menangani keperluan organisasi untuk berjaya.
Tambahnya, kepimpinan merujuk kepada seseorang yang berautoriti yang boleh memberi pengaruh kepada orang lain dalam sesuatu organisasi.
Kemahiran memimpin itu adalah amat penting untuk membolehkan sesuatu organisasi mencapai kejayaan dalam jangka masa panjang.
Beliau berharap agar para pelajar dapat meneroka semangat kepimpinan, prinsip dalam membuat keputusan, pengajaran yang dipelajari dan visi yang mendorong mereka ke hadapan dalam perjalanan menuju kejayaan.
Program anjuran Pusat Pengajian Ekonomi, Kewangan, dan Perbankan (SEFB), UUM itu dihadiri oleh 400 pelajar dari pelbagai fakulti. – MalaysiaGazette