Ketua Pengarah Penguatkuasa KPDN, Datuk Azman Adam (tengah) bersama Timbalan Ketua Pengarah Penguat Kuasa (Operasi) Kementerian Perdagangan Dalam Negeri (KPDN), Shamsul Nizam Khalil (kiri) dan Pengarah Siasatan Jenayah Pengubahan Wang Haram (AMLA) Kpdn, Azeem Nazuri (kanan) bercakap pada sidang media mengenai Penguatkuasaan pencegahan pengubahan wang haram sepanjang 2023 di Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Putrajaya. Foto WAN NABIL NASIR, 11 JANUARI 2024.

PUTRAJAYA – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) merampas 6.44 juta liter diesel bersubsidi yang bernilai kira-kira RM14.2 juta dalam Ops Tiris tahun lepas.

Ketua pengarahnya, Datuk Azman Adam berkata, rampasan itu melibatkan 877 kes dalam operasi pihaknya bermula 1 Mac hingga 31 Disember 2023.

Beliau berkata, operasi itu dijalankan untuk menguatkuasakan pengubahan wang haram di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan Dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA 2001) atau Akta 613.

“Kita hanya membanteras penyelewengan minyak diesel bersubsidi kerana ia telah menyebabkan kerugian kepada kerajaan.

“Ops Tiris kita hanya melibatkan Akta Kawalan Bekalan 1961 sahaja dan buat masa ini, Ops Tiris 1 dan Ops Tiris 2 ini kita cuma melibatkan komoditi diesel sahaja,” katanya.

Ditanya tentang komoditi selain diesel, jelas beliau ini kerana tanggungan kerajaan untuk subsidi diesel adalah sangat tinggi dan harga antara paling rendah di rantau ini.

“Ia menyebabkan berlakunya penyeludupan, ada juga penyalahgunaan oleh pihak industri dan pihak-pihak yang tidak sepatutnya menggunakan minyak diesel bersubsidi.

“Mereka menggunakan pelbagai kaedah mencari jalan untuk dapatkan minyak diesel bersubsidi untuk kegunaan industri,” katanya.

Tambahnya, Ops Tiris turut menyita RM7,207,096 akaun bank milik peniaga, rakan kongsi perniagaan, syarikat-syarikat dan siasatan dijalankan mengikut AMLA.

“Kita juga telah merampas sebanyak RM84,964 wang tunai yang disita semasa menjalankan Op Tiris tersebut.

“Ini satu kejayaan boleh dikatakan dibanggakan dan Op Tiris akan diteruskan sehingga kita betul-betul berpuas hati bahawa kita telah mencapai sasaran untuk mengurangkan ketirisan diesel bersubsidi,” katanya lagi. – MalaysiaGazette