Foto Chanathip yang tular bersama bersama beberapa pengurusan Selangor.

KUALA LUMPUR – Pemain kebangsaan Thailand, Chanathip Songkrasin dikaitkan bakal menyertai Selangor FC untuk saingan pada musim hadapan yang bermula April ini.

Spekulasi itu timbul selepas sekeping gambar bintang tengah itu bersama Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) pasukan tersebut iaitu Dr Johan Kamal Hamidon bersama beberapa pengurusan Selangor.

Perkongsian foto itu mulai tular di media sosial dengan beberapa komen mengharapkan supaya Chanathip menyertai Selangor untuk beraksi dalam saingan Liga Malaysia (Liga M) musim hadapan.

Chanathip kini merupakan salah satu tonggak utama buat BG Phatum dalam saingan utama di Thailand.

Malah, pemain itu juga sudah pun beraksi dalam saingan AFC Champions League (ACL) sebelum BG Pathum terkandas di peringkat kumpulan.

Bagi musim ini, Chanathip merekodkan tiga gol bersama satu bantuan jaringan daripada lapan perlawanan membabitkan beliau bersama BG Pathum.

Di saingan ACL, pemain itu telah merekodkan tiga perlawanan dengan mencatat dua jaringan serta satu bantuan gol secara keseluruhan.

Sebelum itu, pemain berusia 30 tahun ini mencipta sensasi tersendiri selaku antara pemain Asia Tenggara paling menyerlah dalam saingan utama di Jepun bersama Kawasaki Frontale. – MalaysiaGazette