Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim meninggalkan Masjid Al-Hijrah Desa Pinggiran Putrajaya selepas solat sunat Jumaat bersama rakyat . Foto SYADILA AMARI, 12 JANUARI 2024.

SEPANG – Malaysia akan meneliti kesan keputusan firma Jepun menarik diri dari projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) Kuala Lumpur – Singapura, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Saya baru sahaja terima laporan (penarikan firma Jepun mengnai projek HSR).

“Dan saya sedang teliti,” katanya ringkas kepada media berhubung laporan media bahawa firma berkenaan membuat keputusan membatalkan rancangan mereka untuk terbabit dalam projek HSR.

Mengikut laporan agensi berita Jepun, Kyodo News yang memetik sumber, syarikat negara itu termasuk East Japan Railway Co, berharap untuk menggunakan sistem kereta api peluru Shinkansen Jepun dalam projek itu, tetapi mereka memutuskan ia akan terlalu berisiko tanpa sokongan kewangan kerajaan Malaysia.

Perkembangan itu dijangka memberi laluan kepada pesaing perniagaan dari China mengukuhkan lagi jejak mereka dalam pembinaan infrastruktur di Asia Timur selepas menyiapkan kereta api berkelajuan tinggi pada 2023 di Indonesia dan kini sedang membina satu lagi projek di Thailand.

Untuk rekod, Malaysia dan Singapura sebelum ini bersetuju untuk membina projek berkenaan membabitkan nilai RM110 bilion sepanjang 350 kilometer yang dijangka memendekkan masa perjalanan antara kedua-dua bandar raya kepada 90 minit.

Anwar berkata demikian selepas menunaikan solat Jumaat bersama rakyat Sepang di Masjid al-Hijrah, Persiaran Desa Pinggiran Putra.

Beliau yang segak mengenakan baju melayu tona ungu muda disambut lebih 1,000 jemaah di masjid berkenaan.

Anwar bersama jemaah kemudian mendengar khutbah bertajuk “Binalah Kasih Sayang Dengan Ukhuwah” yang disampaikan oleh

Imam 1 Masjid Al-Hijrah Dr Mohd Hafizi Sulaiman.

Anwar sebelum itu sempat makan tengahari bersama rakyat Sepang di Restoran Arham. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Wow ada wow lah Anwar “SEGAK” pakai baju Melayu warna UNGU hingga jemaah lain juga nampak tidak selekeh sangat dengan aura itu. Anwar juga merupakan PM terlalu “SEGERA” dalam tempoh setahun jagong berurus bina HSR. SEGERA betul segala kajian dan kemampuan beliau. Tahniah

Comments are closed.